30 premis vape diserbu, rampasan bernilai RM1 juta

19 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melaksanakan operasi serentak di 30 lokasi melibatkan pemeriksaan premis vape di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM1 juta.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi E-Cigarette berkenaan yang dijalankan kira-kira pukul 2 petang hingga 12 tengah malam pada kelmarin.

Katanya, operasi berkenaan melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Imigresen.

“Di Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 11 serbuan dan pemeriksaan dijalankan, manakala Selangor (empat), Negeri Sembilan (tiga), Melaka (lima) dan Johor (tujuh), menjadikan keseluruhan 30 lokasi.

“Seramai 51 individu diperiksa terdiri daripada 44 warga tempatan, warga Indonesia (tiga), warga Bangladesh (dua) serta masing-masing seorang warga India dan Myanmar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, hasil operasi tersebut, dua individu merupakan warga Indonesia dan Bangladesh masing-masing berusia 30-an ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, katanya, antara kesalahan yang disiasat termasuk di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta Akta Imigresen.

“Tindakan agensi lain termasuk pengeluaran 16 saman oleh pihak KKM, manakala PBT sebanyak 25 kompaun.

“Nilai kompaun yang dikeluarkan oleh PBT melibatkan keseluruhan operasi ini berjumlah RM28,500, manakala tindakan lanjut termasuk saman oleh KKM masih menunggu keputusan mahkamah,” ujarnya.

Hakemal berkata, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang, khususnya melibatkan premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen, produk tidak diluluskan serta pengambilan pekerja tanpa dokumen sah.

Beliau turut menegaskan kerjasama orang ramai amat penting dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti jenayah dapat dibanteras secara berkesan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |