POKOK SENA – Selepas tujuh bulan, 27 jenazah etnik Rohingya yang merupakan mangsa bot karam di perairan Langkawi pada November lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, di sini hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, proses pengurusan jenazah itu bermula pukul 10 malam tadi dan selesai sepenuhnya pada pukul 7 pagi tadi.
Katanya, proses pengebumian 13 jenazah lelaki dan 14 wanita itu dilakukan mengikut prosedur dan tatacara ‘temporary controlled burial’ (TCB) atas nasihat pihak hospital.
“Kesemua jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam itu bermula pukul 7.30 pagi tadi dan dilaksanakan dengan penuh tertib serta penghormatan mengikut hukum syarak. Proses ini dipantau Majlis Agama Islam Kedah (MAIK),” katanya hari ini.
Operasi pengurusan dan pengebumian itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan beberapa agensi iaitu polis, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), MAIK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.
Jelasnya, kesemua jenazah itu sebelum ini dibawa ke Unit Perubatan Forensik HSB bagi tujuan pengecaman identiti, bedah siasat dan dokumentasi forensik mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sementara itu, kata Adzli, siasatan berhubung punca kejadian, laluan kemasukan dan dalang di sebalik kegiatan penyeludupan migran masih diteruskan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian itu merupakan satu tragedi yang amat menyayat hati dan menjadi peringatan tentang risiko serta bahaya dihadapi oleh individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan.
“PDRM akan terus memperkukuh penguatkuasaan undang-undang dan kawalan keselamatan perairan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Rohingya Pokok Sena, Horumullah Ahmad Hussein berkata, walaupun tidak mengenali semua mangsa tersebut, dia tetap berasa sedih dan sayu melihat keranda diturunkan satu persatu ke dalam lubang kubur.
“Mereka meninggal dunia akibat lemas ketika mahu (dalam perjalanan) ke Malaysia. Kami (Rohingya) orang susah. Saya doakan segala dosa mereka diampunkan dan ditempatkan di syurga,” katanya.
Kosmo! pada November tahun lalu melaporkan sebuah bot membawa 70 etnik Rohingya dipercayai menuju ke negara ini karam berhampiran Pulau Tarutao, Thailand, sebelum 44 mangsa termasuk 30 mayat ditemukan terapung di perairan Langkawi.
Mereka dikatakan sebahagian daripada 300 migran menaiki sebuah kapal induk yang berlepas dari Buthidaung, Myanmar sebelum dipindahkan ke bot kecil ketika menghampiri sempadan Thailand-Malaysia.
Kumpulan migran itu mendakwa mereka membayar kira-kira 400,000 Taka atau sekitar RM13,500 seorang kepada sindiket untuk memasuki Malaysia. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
5















![[VIDEO] Cemas zink melayang dalam pusaran angin](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/usaran-angin.jpeg)






























