22 kru IRIS Dena terus terima perlindungan Sri Lanka

4 hours ago 3

COLOMBO – Seramai 22 kelasi Iran dibenarkan keluar dari hospital di Sri Lanka selepas mereka dimasukkan ke kemudahan itu setelah kapal perang IRIS Dena ditenggelamkan oleh kapal selam Amerika Syarikat (AS), kata pegawai hari ini.

Kelas-kelasi itu dirawat di Hospital Karapitiya di bandar pelabuhan selatan, Galle sejak Rabu minggu lalu, selepas IRIS Dena terkena torpedo di luar perairan wilayah Sri Lanka.

“Seramai 10 lagi masih menjalani rawatan,” kata seorang pegawai perubatan di hospital itu kepada AFP sambil menambah, mayat 84 kelasi yang dikeluarkan dari Lautan Hindi juga berada di hospital berkenaan.

Mereka yang dibenarkan keluar dari hospital telah dibawa ke sebuah pusat peranginan pantai di daerah yang sama.

Pihak berkuasa Sri Lanka berkata, mangsa yang terselamat dari IRIS Dena sedang ditangani mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, manakala kerajaan telah menghubungi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa untuk mendapatkan bantuan.

Negara kepulauan itu juga menyediakan tempat perlindungan selamat untuk 219 kelasi Iran lain dari kapal kedua, IRIS Bushehr, yang dibenarkan berlabuh sehari selepas IRIS Dena ditenggelamkan.

Sementara itu, Sri Lanka menafikan dakwaan bahawa ia berada di bawah tekanan Washington untuk tidak membenarkan rakyat Iran pulang ke tanah air mereka serta berkata, Colombo akan berpandu semata-mata oleh undang-undang antarabangsa dan perundangan domestiknya sendiri.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, pengurusan anak kapal Bushehr dan kelasi Iran yang diselamatkan di laut adalah terpulang kepada Sri Lanka.

“Amerika Syarikat sudah tentu menghormati dan mengiktiraf kedaulatan Sri Lanka dalam mengendalikan situasi ini,” kata jurucakap itu kepada AFP di Washington. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |