KUALA LUMPUR – Negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) hari ini sepakat memperkukuh kerjasama pertahanan serantau menerusi 11 komitmen baharu yang diumumkan sempena ulang tahun ke-15 penubuhan ADMM-Plus.
Dalam kenyataan bersama, para Menteri Pertahanan menegaskan kesepakatan untuk menjadikan ADMM-Plus terus relevan dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks, sambil memastikan rantau ini kekal stabil, aman dan sejahtera.
Antara 11 komitmen utama yang dipersetujui ialah mengiktiraf 15 tahun pencapaian ADMM-Plus dalam memupuk kerjasama praktikal, serta memperkukuh pelaksanaan pelan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2025.
Kenyataan itu juga menekankan keperluan untuk meneguhkan keberkesanan ADMM-Plus selepas 2025 dengan menyesuaikan diri terhadap cabaran keselamatan baharu yang semakin kompleks dan saling berkait, sambil memastikan komitmen berterusan terhadap kestabilan serta kerjasama serantau.
Negara anggota turut berikrar untuk memperkukuhkan kerjasama praktikal melalui pelaksanaan berkesan Kumpulan-Kumpulan Kerja Pakar (EWG) ADM-Plus.
ADMM-Plus juga komited untuk menggalakkan perkongsian maklumat dan memudahkan komunikasi yang tepat serta berkesan antara negara-negara anggota, termasuk melalui Infrastruktur Komunikasi Langsung ASEAN (ADI).
Dalam semangat keterangkuman, negara anggota berjanji untuk memastikan ADMM-Plus kekal terbuka dan inklusif, melalui pelaksanaan Program Pemerhati EWG ADMM-Plus.
Komitmen keenam memberi tumpuan kepada inisiatif pembinaan keupayaan, termasuk program latihan dan pendidikan bagi memperkukuh peranan ADMM-Plus dalam mempersiapkan serta meningkatkan lagi keupayaan negara ASEAN untuk menangani cabaran keselamatan yang berubah.
Selain itu, ADMM-Plus akan memperdalam kerjasama pertahanan dan membina keupayaan bersama, sekali gus memperkukuh kepercayaan strategik dalam kalangan anggota.
Dalam komitmen kelapan, negara anggota menegaskan kepentingan menghormati kemerdekaan, kedaulatan, keutuhan wilayah dan identiti nasional, mengekalkan kebebasan pelayaran dan penerbangan serta keperluan untuk meningkatkan kepercayaan, disamping menyelesaikan pertikaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
ADMM-Plus turut sepakat untuk meneruskan interaksi dan pertukaran maklumat sebagai langkah membina keyakinan dalam menangani cabaran keselamatan semasa dan baharu.
Selain itu, kenyataan tersebut menyatakan sokongan padu terhadap Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2045, bertujuan mewujudkan ASEAN yang berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat menjelang 2045.
Sebagai simbol kesinambungan kerjasama, negara anggota turut mengalu-alukan penganjuran Mesyuarat ADMM-Plus ke-13 di Republik Filipina pada tahun 2026. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
4












![[VIDEO] ‘Macam mana jari kau boleh masuk situ kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-01-at-5.04.16-PM.jpeg)




































