10 pasar jadi perintis destinasi pelancongan

1 day ago 6

KUALA LANGAT – Sebanyak 10 pasar di seluruh negara akan menjadi perintis destinasi pelancongan dan mercu tanda komuniti sekali gus merancakkan lagi ekonomi negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pemerkasaan kesemua pasar baharu itu akan menelan kos lebih RM10 juta dengan dilakukan menerusi pertandingan reka bentuk terbuka.

Katanya, sebagai contoh adalah Pasar Bukit Mertajam Pulau Pinang yang sedang giat dilaksanakan dan telah menarik 115 arkitek tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut sebelum ini.

“Di Selangor melibatkan Seri Kembangan dan Kajang. Manakala sedang rancak dibina adalah Pasir Pinji, Ipoh akan menjadi mercu tanda dan merupakan antara pasar paling cantik serta berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis sentuhan kejayaan Jabatan Kerajaan Tempatan 2025 di Gerai Penjaja Sungai Jarom di sini, hari ini.

Menurut beliau, konsep reka bentuk setiap pasar diserahkan sepenuhnya kepada pertandingan tersebut dengan juri daripada pihak berkecuali.

Ujarnya, manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bekerjasama dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia untuk memilih reka bentuk terbaik.

“Mereka akan pilih dan mana-mana senibina yang terbaik mencerminkan identiti, warisan, budaya dan alam sekitar. Setiap negeri ada reka bentuk masing-masing disebabkan ada acuan sesuai dengan warisan serta budaya masing-masing,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, kementeriannya telah menyiapkan sebanyak 15,082 projek pembangunan skala kecil di seluruh negara dari 2023 hingga 2025.

“Kejayaan pelaksanaan projek pembangunan itu dan sistem perparitan yang sistematik juga telah menyumbang kepada pengurangan 145 hotspot banjir di seluruh negara, sekali gus memberi impak positif kepada keselamatan dan kebajikan rakyat.

“Bagi aspek pembangunan komuniti, sebanyak RM101 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 858 projek pembangunan Kampung Baru yang merangkumi pemerkasaan infrastruktur asas serta program pembaikan rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |