PETALING JAYA – Beberapa ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa terdapat segelintir penjaga menggunakan alamat ‘dummy’ bagi memudahkan urusan penempatan anak ke sekolah di sekitar Putrajaya.
Perbuatan itu didakwa sekali gus menafikan hak penduduk setempat yang benar-benar tinggal berhampiran sehingga terpaksa menghantar anak ke sekolah lebih jauh.
Menerusi hantaran dimuat naik @Hasanahabdullah3883 di aplikasi Thread, kegiatan tersebut mula dikesan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila larangan rentas negeri dan daerah berkuat kuasa.
Menurutnya, ketika itu barulah jelas bahawa ada murid sebenarnya tinggal di luar Putrajaya sedangkan mendapat tempat di sekolah-sekolah popular dalam kawasan berkenaan.
“Masa PKP dulu teruk juga sekolah anak saya kena. Dari situ terbongkar orang luar dapat sekolah situ. Kami mak ayah dalam kumpulan WhatsApp memang bising lah.
“Ada yang siap mengaku duduk Bangi, tapi anak sekolah di Putrajaya, dekat pula dengan tempat kerja mereka. Kami yang memang duduk kawasan berdekatan ni, dapat pula sekolah yang jauh-jauh,” luahnya.
Katanya lagi, situasi itu menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan ibu bapa kerana penempatan sekolah sepatutnya mengutamakan alamat kediaman sebenar, bukannya alamat sewaan palsu atau alamat pinjam semata-mata.
“Geram betul bila tahu rupanya ramai yang buat alamat ‘dummy’. Sepatutnya sekolah mengutamakan penduduk. Kalau ada kekosongan baru buka pada orang luar.
“Macam anak saya, duduk Presint 18 kena hantar sekolah ke Presint 14. Tak ke geram tu?,” tambahnya.
Hantaran wanita tersebut dipercayai dimuat naik bagi membalas soalan individu lain yang bertanyakan bagaimana untuk ‘menipu’ alamat agar dapat menghantar anaknya ke bersekolah di Putrajaya sekaligus berhampiran dengan pejabatnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai warga Putrajaya yang bersetuju dengan hantaran wanita itu kerana turut berhadapan situasi yang sama.
“Kawan saya pun sama, duduk Presint 9 rumah sendiri, pergi sekolah berdekatan kerani tanya betul ke rumah sendiri, siap minta perjanjian jual beli. Sudahnya kena hantar ke Presint 11,” tulis Ntaufiqah.
“Saya sebagai ejen rumah sewa Putrajaya, memang ramai juga tanya saya boleh pinjam alamat tak untuk mereka letak anak sekolah di Putrajaya. Saya cakap kalau dia memang betul nak sewa rumah di Putrajaya bolehlah ‘proceed’, tapi sekadar nak pinjam alamat untuk buat Perjanjian Sewa, memang saya tak bagi,” tulis Sham pula.
Dalam pada itu, rata-rata ibu bapa menggesa pihak berkaitan memperketatkan semakan dokumen sokongan seperti bil utiliti, status sewaan sebenar dan bukti kediaman agar penempatan murid di sekolah awam benar-benar berdekatan alamat kediaman mereka.- KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3
















![[VIDEO] Sanggup berhujan bersih longkang elak tersumbat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/LONGKANG-TERSUMBAT-RIDER.jpeg)
































