KUALA LUMPUR – Tidak ada lagi kelibat beregu lelaki negara pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun tersingkir di peringkat kumpulan.
Ia berikutan kedua-dua beregu tersebut menamatkan saingan peringkat kumpulan masing-masing di tangga ketiga selepas mengalami dua kekalahan dan hanya mencatat satu kemenangan dalam tiga perlawanan.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan hari ini, Aaron-Wooi Yik yang merupakan pilihan kedua kejohanan tewas 21-17, 18-21, 15-21 kepada beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy bagi saingan Kumpulan B.
Keputusan itu menyaksikan bekas juara dunia berkenaan terus kempunan untuk melangkah ke separuh akhir pada kejohanan penutup tirai tersebut selepas turut mengalami nasib sama dalam beberapa percubaan sebelum ini.
Justeru, Shetty-Rankireddy melayakkan diri ke separuh akhir selaku juara kumpulan selepas menang ketiga-tiga perlawanan diiringi beregu tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang sebagai naib juara.
NASIB sama turut dialami Wei Chong (kanan) dan Kai Wun apabila gagal melangkah ke separuh akhir WTF2025. – AFPPada perlawanan yang berlangsung lebih awal, Wei Chong-Kai Wun turut mengalami nasib serupa apabila tersingkir daripada saingan selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Pilihan keempat kejohanan itu sudah memberikan segala-galanya sepanjang aksi yang berlangsung selama 63 minit, namun terpaksa akur tewas menerusi keputusan tiga set 23-25, 21-14, 19-21.
Won Ho-Seung Jae yang mencatat tiga kemenangan melangkah ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan A bersama beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani selaku naib juara.
Menerusi penyingkiran Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun, Malaysia kini meletakkan sandaran kepada beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di separuh akhir nanti. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2



![[VIDEO] Enam tahun berjuang di hutan belantara, Cikgu Zul akhirnya pergi jua](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/SK-POS-BALAR.jpeg)










![[VIDEO] Berkali-kali salam guru, sebak hari terakhir persekolahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/tular-viral-murid-ppki.jpeg)


































