Warga Malaysia rompak kedai emas di Hatyai ada 10 rekod lampau termasuk membunuh

5 days ago 13

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan warga Malaysia yang diberkas kerana merompak kedai emas di daerah Hat Yai mempunyai 10 rekod lampau termasuk jenayah membunuh di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki berusia 62 tahun berasal dari Kulim, Kedah itu mempunyai dua rekod dikehendaki iaitu kes bunuh dan Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.

Beliau berkata, PDRM sedang mengambil langkah awal dengan menyemak kertas siasatan membabitkan jenayah dilakukan di negara ini sebelum proses ektradisi dilakukan.

“Kita telah dimaklumkan mengenai penahanan suspek sebaik sahaja dia ditahan di Bangkok atas kesalahan samun bersenjata di Hatyai.

“Pada peringkat sekarang, kita (PDRM) serahkan kepada pihak berkuasa Thailand terlebih dahulu untuk mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan yang dilakukannya di negara itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Razarudin, suspek kini ditahan di lokap Hatyai dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lelaki berkenaan juga tidak lagi tinggal di negara ini dan dikesan menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di negara terbabit.

“Semasa tangkapan terhadapnya dilakukan dia dikesan memiliki kad pengenalan Thailand yang palsu selain tiada MyKad atau pasport Malaysia ditemukan bersamanya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan suspek rompakan bersenjata sebuah kedai emas di daerah Hat Yai, wilayah Songkhla diberkas di Terminal Bas Selatan, Bangkok 9 April lalu, kata seorang pegawai daripada Polis Wilayah Rantau 9.

Menurut sebuah laman berita Thailand, suspek, Yee Boon Long diberkas bersama 69 rantai emas, sepucuk senjata api dan peluru ketika turun daripada bas yang melakukan perjalanan dari Hati Yai , demikian menurut polis.

Suspek dihantar ke wilayah Songkhla untuk pendakwaan.

Rompakan itu berlaku pukul 11.55 pagi Selasa lepas di kedai emas Thai Udom 2, Jalan Montri 1, pusat bandar Hat Yai.

Pekerja kedai berkenaan berkata, seorang perompak bertopeng dan bersenjata api melarikan barang kemas daripada emas seberat 2.25 kilogram bernilai lebih 7 juta baht sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Susulan rompakan tersebut, mahkamah wilayah Songkhla mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek yang turut menggunakan beberapa nama lain termasuk nama Thai, Anucha Saeyeoh.

Pihak berkuasa percaya dia masih bersembunyi di Thailand. Komisioner Polis Rantau 9, Leftenan Jeneral (polis), Piyawat Chaloemsri menawarkan ganjaran 100,000 baht (RM13,118) untuk penangkapannya.
Menurutnya, suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Piyawat berkata, suspek pernah merompak sebuah kedai emas di Hat Yai dalam tahun 2017 dan dibebaskan dari penjara kira-kira setahun setengah yang lalu.

Sumber polis mendedahkan bahawa Yee juga disyaki membunuh dua adik-beradik Thai iaitu Montree Saekung dan Srirat Saekung di sebuah rumah sewa di Tambon Koh, Songkhla pada 22 Mei, 2014.

Di Malaysia, Yee dilaporkan dikehendaki kerana merompak  sebuah kedai emas di Butterworth, Seberang Perai kira-kira 20 tahun lalu.

Dia didakwa melarikan emas bernilai 50 juta baht (RM6.6 juta) dalam rompakan itu sebelum melarikan diri ke Thailand.

Menurut sumber sama, Yee juga dikehendaki di Malaysia kerana bekerja sebagai pembunuh upahan dengan 10 mangsa dikaitkan dengan suspek.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |