Keadaan kemalangan di KM7, Jalan Air Kuning Selatan-Nyalas petang semalam. IHSAN POLIS
- Oleh NOR AINNA HAMZAH
- 13 Disember 2025, 11:58 am
TAMPIN – Perjalanan pulang seorang warga emas ke rumahnya berakhir tragedi selepas motosikal yang ditunggang dirempuh lori ais dalam kejadian di Kilometer 7, Jalan Air Kuning Selatan-Nyalas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, insiden membabitkan motosikal jenis Honda C100 ditunggang mangsa berusia 74 tahun dengan sebuah lori satu tan membawa muatan ais dipandu lelaki berusia 29 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori dalam perjalanan dari Felda Bukit Jalor menghala ke Jasin untuk menghantar air batu, namun dipercayai telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan penunggang motosikal tersebut.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal tercampak jatuh ke dalam longkang di bahu jalan sebelah kiri dan mengalami cedera parah di kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Tampin untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

















































