ALOR SETAR – Seorang wanita yang disyaki bertindak agresif termasuk menunjukkan isyarat lucah dan meludah ke arah anggota polis direman selama dua hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 34 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Alor Setar, Nur Syifa Mohd. Hamzah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, wanita terbabit direman sehingga esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam semasa menjalankan tugas.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 298 KK kerana mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan penganut agama serta Seksyen 509 KK kerana mengaibkan kehormatan seseorang melalui perkataan atau isyarat tidak senonoh.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan polis menahan seorang wanita berusia 34 tahun dipercayai bertindak agresif terhadap anggota polis serta mencetuskan kekecohan awam dalam kejadian di Mergong, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 1.11 tengah hari itu, suspek dikatakan menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di kawasan berkenaan sebelum anggota polis dikerah ke lokasi bagi mengawal keadaan.
Setibanya di lokasi, anggota polis mendapati suspek sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
Polis kemudian memperkenalkan diri serta cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek supaya bertenang dan memberikan kerjasama.
Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun serta membuat isyarat lucah dengan menunjukkan jari tengah ke arah salah seorang anggota polis.
Suspek turut membaling kad pengenalannya ke arah anggota polis berkenaan, selain meludah ke arah anggota tersebut sebanyak dua kali serta meludah ke arah beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
20


![[VIDEO] Rupa-rupanya dia nak jadikan bumi Anbiya itu rumahnya – Suami Nadia Kesuma](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/Tangkap-layar-video-Muhammad-Kamarul-tengah-bersama-pihak-Nuh-Travel-semasa-di-KLIA-Sepang-sebelum-berlepas-ke-Jeddah-petang-tadi..jpeg)











































