[VIDEO] Rumah jadi longgokan sampah, penyewa enggan keluar

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Sebuah rumah sewa yang sebelum ini lengkap dengan perabot moden bertukar menjadi seperti tempat pembuangan sampah apabila keadaan rumah seolah-olah tidak berpenghuni sekian lama.

Menerusi perkongsian video di TikTok oleh @ftnramlie, kelihatan seluruh ruang rumah dipenuhi longgokan sampah seperti plastik, pakaian dan kotak yang memenuhi ruang hingga menutupi hampir semua laluan di dalam rumah.

Pemilik rumah berkenaan mendakwa, kediaman itu sebelum ini dalam keadaan bersih dan lengkap dengan perabot, namun kini hampir semuanya rosak dan tidak terjaga. Menurutnya, dia telah meminta penyewa itu mengosongkan rumah sejak minggu lalu, namun individu berkenaan tetap enggan berbuat demikian dengan pelbagai alasan.

“Dia cakap dia OKU la, tak ada tempat nak pergi la. Bila kami minta keluar, dia ugut nak call polis. Kami pun cabar dia call, ini rumah kami,” katanya yang turut berkongsi sudah memanggil polis untuk campur tangan.

Tambahnya, pihak polis kemudiannya memberi tempoh satu hingga dua minggu kepada penyewa terbabit untuk keluar, dan sekiranya gagal berbuat demikian, laporan susulan akan dibuat bagi tindakan pengusiran.

Dia turut meluahkan rasa terkilan apabila mendakwa sudah banyak bertolak ansur dengan penyewa tersebut termasuk menerima bayaran sewa lewat, menanggung tunggakan bil elektrik dan air serta hanya mengenakan deposit sebanyak RM1,500 sahaja.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya turut terkejut dan kesal dengan keadaan rumah tersebut.

“Ramai yang berperangai macam ni rupanya. Macam mana boleh duduk dalam keadaan yang macam tu? Saya ni mainan anak bersepah atas lantai pun dah stres, terus hilang semangat,” komen Bunga Kenanga.

“Kat mana mereka tidur, makan, masak dan santai-santai? Allah, biar betul sampai macam ni. Nak cari apa-apa pun tak jumpa kalau macam ini gayanya. Serabut tengok,” kata @ita_nang

“Buat rumah sewa ni memang banyak risiko, kalau rosak, sakit mata dan sakit poket,” kata @Sapphire Lynn – KOMSO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |