[VIDEO] ‘PM Timor-Leste datang 5 hari, kesannya macam datang setahun’

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Kepulangan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao ke negaranya semalam turut memberi kesan dalam kalangan petugas dan pengiring termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia sepanjang ‘menjaga’ keselamatan beliau di negara ini.

Menerusi video-video tular di media sosial, Gusmao sempat memberikan cenderahati kenangan kepada setiap petugas dan pengiring yang memudahkan kelancaran urusan beliau sepanjang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini.

Beliau dilihat memakaikan mafela bermotif corak tradisional rakyat Timor-Leste kepada setiap petugas dan memberikan satu beg kecil berisi kopi yang menjadi salah satu produk popular dari negara tersebut. Dalam video yang lain, Gusmao menyanyikan lagu ulang tahun kelahiran seorang anggota polis dikenali sebagai Sarjan Riduan bertugas sebagai pemandunya sepanjang di Malaysia.

Selain bergurau, beliau juga memeluk anggota-anggota tersebut sebagai penghargaan dan tanda terima kasih sebelum berpisah.

“Penghargaan terakhir sebelum PM Timor-Leste berangkat pulang. Terima kasih banyak-banyak sir,” kata Azraiz Bokhori iaitu seorang anggota PDRM menerusi video dikongsikan pada TikTok.

Perkongsian itu mendapat pelbagai maklum balas daripada rakyat Malaysia yang turut sama tersentuh hati melihat kemesraan Gusmao bersama-sama petugas berkenaan.

“Dia datang lima hari, kesannya macam datang setahun,” komen pengguna TikTok IR Bos.

“Dia nak kongsi kebahagiaan apabila berjuang untuk negara Timor-Leste. Dia nak gembirakan orang sekeliling dia sekali walaupun dia tak kenal langsung,” kata Eddy Hisyam.

“Nampak dia seorang yang biasa-biasa, suka berjenaka. Tapi siapa tahu dia adalah orang paling digeruni oleh askar-askar Indonesia. Punya kuat semangat dia nak merdekakan Timor-Leste dan bawa negara dia sampai tahap sekarang. Anda tokoh yang akan kita ingat tentang jasa dia pada negara,” kata Wawa Bartowski.

Kosmo! melaporkan, penantian selama 14 tahun Timor-Leste untuk menjadi ahli ke-11 blok serantau menjadi kenyataan apabila negara tersebut kini sah secara rasmi menjadi anggota ASEAN.

Peristiwa bersejarah itu tertulis pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 26 Oktober lalu selepas kesemua pemimpin negara-negara ASEAN menyempurnakan Majlis Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

@azraizbokhori moment terindah bila PM TIMOR LESTE wish Birthday untuk pemandunya (SJN RIDUAN) ketika berlangsungnya ASEAN SUMMIT 47th. # TEAM MOTOKED TIMOR LESTE 2 #aseansummit2025 #fypviraltiktok🖤シ゚☆♡ #foryoupage❤️❤️ #fyppppppppppppppppppppppp #fypviralシ ♬ original sound – 𝕒ℤℝ𝕒𝕚ℤ 𝔹𝕠𝕂ℍ𝕠ℝ𝕚
Read Entire Article
Pertanian | | | |