PETALING JAYA – Seorang lelaki nyaris dilanggar kenderaan lain selepas kereta dipandunya terbabas ke laluan lain sehingga menyebabkan dia terkeluar daripada tempat duduk pemandu.
Menerusi video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial, lelaki tersebut memandu di laluan kedua paling kanan dan secara tiba-tiba kereta itu dilihat terbabas ke arah laluan kiri melanggar penghadang besi.
Kelihatan pemandu kereta itu terkeluar daripada tempat duduk pemandu, manakala kenderaan dipandunya bergerak sendiri ke hadapan melanggar penghadang besi di laluan kanan. Pemilik dashcam tersebut dipercayai pemandu lori atau bas sempat memperlahankan kenderaannya sekali gus menyelamatkan nyawa pemandu kereta tersebut yang terjatuh keluar di hadapannya.
Pemandu kereta itu pula segera bangun dan berlari ke arah keretanya yang sedang bergerak, manakala kelihatan pemandu kereta dan pikap lain turut berhenti di bahu jalan bagi membantu lelaki tersebut.
Dalam masa sama, keadaan di jalan raya berkenaan dipercayai licin berikutan cuaca hujan.
Video tersebut bertarikh 28 November lalu dipercayai berlaku di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak.
Rakaman itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna media sosial yang menyifatkan ia satu pengajaran kepada orang ramai supaya memakai tali pinggang keledar sepanjang menaiki kenderaan.
“Pengajaran paling bernilai dia dapat, gunakanlah seat belt (tali pinggang keledar),” komen Mohd Azlan Othman pada Facebook.
“Sejak dari kejadian ini, dia akan pakai tali pinggang keledar sepanjang hidupnya walaupun duduk di bahagian penumpang,” kata Vic Kuan.
“Dulu waktu muda suka sangat tak pakai tali pinggang keledar. Bila kemalangan, berpusing dalam kereta sampai kepala kat bawah, kaki kat atas. Nasib lah Allah bagi umur panjang. Sekarang ni masuk saja kereta, mesti pakai seat belt. Yang pernah kemalangan saja memahami macam mana rasa kemalangan tak pakai seat belt,” kata Napi Mat. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

















































