JOHOR BAHRU – “Semalam saya mimpi dia datang peluk saya dan minta maaf, dia cakap kak jangan nangis, kalau kau nangis macam mana aku nak pergi dengan tenang,” kata Nur Qisha Adelia Abdullah, 11.
Nur Qisha Adelia merupakan kakak kepada Muhammad Rayyan Iskandar, 9, salah seorang kanak-kanak yang ditemui lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2.28 pagi, selain Muhammad Rayyan turut ditemui lemas rakannya, Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, 10.
Bercerita lanjut, Nur Qisha Adelia berkata, sebelum kejadian, dia melihat adiknya ketika kanak-kanak itu bermain bola sebelum keluar bersama rakannya sekitar pukul 6 petang.
“Saya nampak dia main bola, lepas tu dia balik rumah sekejap. Itu kali terakhir saya nampak dia.
“Lepas maghrib dia tak balik, saya macam dah rasa sesuatu tak kena sebab teringat beberapa hari sebelum tu saya mimpi dia meninggal dunia. Tapi saya tolak fikiran tu sebab tak nak percaya benda bukan-bukan. Rupanya Allah nak beri petunjuk.
“Dalam mimpi itu, dia datang peluk saya dan minta maaf, dia cakap kak jangan nangis, kalau kau nangis macam mana aku nak pergi dengan tenang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Nur Qisha Adelia berkata, dia dan keluarganya bergegas ke kawasan tasik selepas diberitahu terdapat kejadian lemas di situ dan terus mengenali batang joran serta pemadam yang digunakan adiknya.
“Kami tunggu adik pulang, tetapi sampai ke malam dia tidak balik rumah. Ibu memaklumkan kepada ayah untuk mencari adik sebelum pihak polis menemui selipar milik adik dan kawannya
“Bila nampak joran dan selipar itu saya dah tahu, itu memang milik dia,” ujarnya.
Dalam pada itu ibunya, Nur Shuhadah Ramli, 30, sebelum kejadian, Muhammad Rayyan sudah dua minggu tidak keluar bermain meskipun diajak rakan-rakan.
“Petang itu, bila Muhammad Khalish datang ajak, dia terus keluar main. Katanya nak maklumkan nak main, tapi rupanya dia pergi memancing. Dia memang minat memancing.
“Rayyan dan Khalish memang berkawan baik sejak kecil di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah dan bersama- sama bersekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Pelangi Indah,” katanya. – KOSMO! ONLINE