[VIDEO] ‘Kemalangan itu sangat menyedihkan buat kami sekeluarga’

6 hours ago 4

PETALING JAYA – Anak kepada pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan dipercayai melanggar mati anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak semalam merayu semua pihak agar berhenti menyalahkan bapanya.

Menerusi perkongsian di TikTok @Lyyzzaaz berkata, kejadian yang berlaku itu adalah di luar jangka dan meninggalkan kesan buat keluarganya.

“Saya merayu, tolong berhenti kecam ayah saya (pemandu lori). Kejadian ini adalah satu kemalangan yang sangat menyedihkan buat kami sekeluarga.

“Ayah saya bukan orang yang kejam dan dia sendiri terkesan dengan apa yang berlaku kerana tiada siapa yang inginkan perkara ini (kemalangan) terjadi,” katanya.

Lyyzzaaz turut menyelar khabar angin mengatakan bapanya tidak bersimpati, sebaliknya memaklumkan perkara tersebut adalah tidak benar sama sekali.

“Sesiapa yang mengatakan ayah bergelak ketawa ketika kejadian adalah sangat tidak wajar sama sekali,” ujarnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata orang ramai turut menyokong tindakan wanita itu dan bersetuju dengan sikap segelintir pengguna media sosial sebagai dianggap ‘berlebihan’.

“Semua yang kecam dia tidak tahu apa yang pemandu lori itu rasa, ingat dia (pemandu lori) suka ke nak langgar anak gajah. Siapa yang pernah lalu Jalan Gerik waktu malam tahu gelapnya macam mana,” kata @Tashazambrii.

“Sememangnya korang (kamu) memang kesian tengok anak gajah, tapi janganlah terlalu menghukum dan sebagai peringatan kita berhati-hati di jalan raya juga ye. Benda (kemalangan) ini jadi bukan pemandu itu minta, dia pun tidak sangka. Tiada perkara yang disengajakan,” kata @D’laila.

“Jagalah setiap perkataan masing-masing. Kita pun tidak tahu bila pula masa kita diuji macam ini,” kata @Anisaqiela.

Semalam Kosmo! Online melaporkan, satu rakaman video memaparkan seekor gajah betina cuba ‘menolak’ lori yang dipercayai melanggar anaknya dalam kejadian di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli pada pukul 2.30 pagi sehingga mengundang sebak dalam kalangan orang ramai.

Video berdurasi satu minit 11 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan kemalangan membabitkan lori membawa muatan ayam. Seekor anak gajah dilihat terperosok di bawah kenderaan berat tersebut. – KOSMO! ONLINE

@lyyzzaaz #fyp #anakgajah🐘 #driverlori ♬ original sound – 千卂ㄒ丨几
Read Entire Article
Pertanian | | | |