JOHOR BAHRU – “Saya fikir saya dah mati.”
Itu pengalaman hitam seorang pemuda yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dipaksa menjadi scammer di Kemboja.
Detik hitam yang ditempuhi mangsa yang mahu dikenali sebagai Joe, 36, selama empat bulan ‘dikurung’ bukan sahaja diseksa dengan renjatan elektrik sehingga kejang malah dipaksa makan daging babi serta minum arak. “Pada mulanya saya tertarik dengan tawaran kerja di Kemboja seminggu sebelum raya tahun ini. Kawan saya yang ‘offer’ kerja dekat sana sebagai pembakar sate dengan gaji sebanyak USD1,500 (RM6,323) sebulan.
“Saya pernah kerja dengan bapa kawan saya itu sebagai pembakar sate di Johor Bahru, sebab itu saya percayakan dia.
“Semua kos perjalanan ditanggung oleh ‘rakannya’ saya itu termasuk tiket penerbangan, penginapan serta duit poket sebanyak RM2,000,”katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Skudai di sini hari ini.
Joe berkata, keterujaannya untuk mencari pendapatan dengan gaji lumayan meleset apabila dia rupa-rupanya ‘dijual’ kepada sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja.
Jelasnya, dia ‘terbang’ ke Kemboja pada hari raya keenam (5 April) dan ditempatkan di sebuah hotel di sana.
“Semasa tiga hari di sana, saya dibawa berhibur oleh sindiket di sebuah pusat hiburan dan diberi minuman khayal sebelum sedar-sedar sudah berada di markas scammer di Sihanouk, Kemboja cukup lengkap dengan sistem keselamatan.
“Di sana baru saya tahu rupanya saya kena kerja sebagai scammer. Memang seksa hidup di sana, makan sekali sehari, bekerja dari pukul 10 pagi sampai pukul 12 tengah malam.
“Kalau tak dapat scam orang atau nilai sasaran, kami kena seksa dengan renjatan elektrik, makan kadang-kadang dipaksa makan daging babi, dipaksa minum arak,”katanya.
Menurut Joe yang masih bujang, dia bagaikan mati hidup semula selepas terlepas seksaan neraka dunia akibat tertipu dengan kawan baik sendiri.
Katanya, semasa ingin melepaskan diri, dia dan empat lagi rakyat Malaysia bernasib baik apabila sindiket memberi dua telefon bimbit dan memaklumkan mereka akan dibawa ke sempadan Laos untuk dijadikan buruh paksa atau pengemis.
“Masa itulah kami ambil kesempatan menghubungi ADUN Skudai, Marina Ibrahim untuk meminta bantuan melepaskan kami di sana.
“Kami berlima bersyukur selepas selamat dibawa pulang ke tanahair pada 16 Ogos lalu. Sepanjang tempoh nak bawa pulang itu pun saya fikir antara hidup dengan mati, sebab fikir mana datang dulu, bantuan atau kena bunuh atau dibawa ke sempadan Laos,”katanya.-KOSMO! ONLINE

4 hours ago
1

















































