[VIDEO] ‘Di bawah rintik hujan, si ibu menatap kubur anaknya’

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Seorang wanita kekal di sisi pusara anaknya biarpun hujan renyai, mengundang rasa sebak dalam kalangan orang ramai apabila melihat kesetiaan ibu tersebut tidak berganjak dari tempat itu.

Menerusi video dimuat naik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar, kelihatan wanita tersebut duduk seorang diri di atas kerusi serta tidak mempedulikan cuaca hujan ketika itu.

Video itu dirakam oleh Baddrol yang juga legenda bola sepak Kedah, sewaktu menziarahi kubur anaknya yang meninggal dunia susulan penyakit berkaitan jantung dan paru-paru pada Mac lalu di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Solihin, Taman Kelisa di Sungai Petani, Kedah.

“Dalam perjalanan menziarahi pusara anak saya, hati ini tersentuh melihat seorang ibu di bawah rintik hujan, menatap kubur dengan perasaan yang sukar digambarkan.

“Kehilangan yang mendalam, namun doa dan harapan tetap bersemadi di setiap hembusan nafas. Semoga roh mereka tenang dan damai di sana, al-Fatihah,” katanya pada hantaran di TikTok.

Menerusi ruangan komen, seorang pengguna TikTok Bella Al Uthman memberitahu, wanita itu adalah ibu mentuanya datang dari Terengganu untuk menziarahi kubur anaknya yang juga suami Bella.

“Itu mak mentua saya, kubur arwah suami saya. Mak saya datang dari Terengganu nak melawat arwah anak dia. Al-Fatihah, untuk arwah suami saya. Terima kasih YB atas doa-doa.

“Semoga doa yang baik-baik berbalik kepada kita semua. Kasih ibu sampai ke syurga, alhamdulillah rezeki suami saya ada ibu yang baik,” katanya.

Menjawab komen daripada orang ramai, Bella memberitahu, suaminya merupakan seorang anak yang baik serta taat kepada orang tuanya.

“Suami saya beruntung, masa arwah hidup, arwah seorang yang baik dan taat kepada orang tuanya. Suami saya seorang ayah dan suami yang sangat-sangat baik.

“Pemergian suami saya pun sangat-sangat mudah. Meninggal dunia sebab pneumonia, kuman paru-paru,” katanya. – KOSMO! ONLINE

@baddrolbakhtiar7Dalam perjalanan menziarahi pusara anak saya, hati ini tersentuh melihat seorang ibu di bawah rintik hujan, menatap kubur dengan perasaan yang sukar digambarkan. Kehilangan yang mendalam, namun doa dan harapan tetap bersemadi di setiap hembusan nafas. Semoga roh mereka tenang dan damai di sana. Al- fatihah 🤲🏻🤍

♬ original sound – JESBON_76

Read Entire Article
Pertanian | | | |