PETALING JAYA – Ramai yang berseloroh mengatakan haiwan juga bijak memesan makanan secara dalam talian jika berdepan dengan kelaparan ketika pemilik tiada di rumah.
Ia susulan tular video memaparkan gelagat seekor anjing sedang menunggu di dalam sangkar ketika penghantar makanan menghantar pesanan ke rumah pemiliknya.
“Anjing pun pandai pesan online food (makanan dalam talian). Siap ayam goreng dua ketul,” seloroh Najmi.
“Haiwan-haiwan sekarang bijak IT (teknologi internet),” kata Haris Noh.
Video berdurasi 47 saat yang dimuat naik penghantar makanan itu menggunakan akaun TikTok @mathock10 mendapat perhatian ramai sehingga meraih hampir 300,000 tontonan dan lebih 7,500 tanda suka sejak kelmarin.
Pengguna akaun tersebut turut meninggalkan kapsyen, ‘Bagi tempahan dekat tuan dia (tak), bagi tempahan dekat penjaga dia (ya)’.
Dalam video itu, makanan yang dipesan merupakan dua ketul ayam goreng dari sebuah restoran makanan segera dan penghantar makanan terbabit juga diminta untuk memberikan makanan kepada anjing terbabit.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan netizen termasuk yang memuji tindakan murni penghantar makanan tersebut kerana membantu memberi makan kepada anjing itu.
“Tolong-menolong amalan baik. Terbaik,” puji seorang pengguna TikTok.
“Terima kasih, so nice (sangat baik). Saya doakan anda dimurahkan rezeki,” kata Daniel. – KOSMO! ONLINE
@mathock10♬ เสียงต้นฉบับ – BiwRemix