27 kampung di Beruas cipta sejarah anjur program Aidilfitri

3 hours ago 3

BERUAS – Sebanyak 27 buah kampung di kawasan ini berganding bahu bagi menjayakan Program Riang Raya Parlimen Beruas 2025 yang julung kali diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Shariman di sini semalam.

Pengerusi Program Riang Raya tersebut, Siti Sofiah Rahman Oh berkata, program itu mencatat kejayaan apabila ia dihadiri lebih daripada 3,500 orang pengunjung dari seluruh negeri.

“Program ini menjadi simbol keutuhan komuniti setempat dalam suasana harmoni dan toleransi. Setiap kampung membawa juadah unik hasil air tangan komuniti mereka yang mana ia disatukan dalam satu perayaan besar.

“Antara menu istimewa termasuk kambing bakar, air tebu segar dan pelbagai juadah kampung, kebanyakannya menggunakan produk komuniti Sejati Madani. Bahkan, khemah, hadiah cabutan bertuah dan hamper juga disumbangkan melalui kerjasama platform ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, program anjuran Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham itu mendapat kerjasama erat dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini.

Siti Sofiah berkata, program itu turut dimeriahkan dengan Pertandingan Gemerlap Aidilfitri Parlimen Beruas 2025 yang berlangsung sejak 24 Mac lalu.

“Ia melibatkan 24 kampung yang menghias kawasan masing-masing dengan penuh warna-warni dan kreatif. Semua kampung menerima sagu hati penyertaan sebanyak RM1,000.

“Johan pertandingan itu adalah Kg. Bakar Bata yang menerima RM3,000, manakala naib johan ialah Kg. Tualang (RM2,000) dan tempat ketiga ialah Kg. Tebuk Yan (RM1,000),” katanya.

Sementara itu, Siti Sofiah berkata, One Stop Centre Sejati Madani akan ditubuhkan di Parlimen berkenaan yang akan berperanan sebagai sebuah hab sehenti untuk memasarkan produk kampung ke pasaran lebih luas selain memacu ekonomi tempatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |