BERN – Venezuela menghantar emas bernilai hampir 4.14 bilion franc (RM22 bilion) ke Switzerland pada tahun-tahun awal pemerintahan Presiden Nicolas Maduro yang kini digulingkan, lapor akhbar Arab News semalam yang memetik data kastam.
Berdasarkan data itu, negara Amerika Selatan tersebut menghantar 113 tan metrik emas ke Switzerland dari 2013 ketika Maduro mula memegang jawatan Presiden.
Penghantaran emas itu berlaku sehingga 2016.
Menurut stesen penyiaran awam Switzerland, SRF, emas tersebut berasal daripada bank pusat Venezuela.
Ia berlaku ketika bank pusat Venezuela menjual sebahagian besar simpanan emasnya bagi menyokong ekonomi negara dan memperoleh mata wang asing susulan sekatan AS.
“Terdapat penjualan terdesak dalam jumlah besar oleh bank pusat Venezuela dari 2012 hingga 2016. Banyak emas ini berkemungkinan dihantar ke Switzerland,” kata penganalisis pasaran di StoneX, Rhona O’Connell.
“Selepas itu, emas tersebut mungkin kekal bersama pihak lain dalam sektor kewangan atau dijual dalam bentuk jongkong kecil ke Asia atau ke mana-mana bahagian dunia,” tambahnya.
Maduro ditangkap oleh pasukan khas Amerika Syarikat dalam satu serbuan di Caracas pada Sabtu lalu dan kini berdepan pertuduhan di sebuah mahkamah New York, termasuk pengedaran dadah serta keganasan narkotik.
Isnin lalu, Switzerland mengarahkan pembekuan aset Maduro dan 36 orang sekutunya yang disimpan di negara itu, namun tidak memberikan maklumat mengenai nilai atau sumber dana tersebut.
Tidak diketahui sama ada terdapat sebarang kaitan antara aset berkenaan dengan emas yang dipindahkan daripada bank pusat.
Menurut SRF, emas yang berasal daripada simpanan Venezuela itu berkemungkinan dipindahkan ke Switzerland untuk pemprosesan, pensijilan dan penghantaran seterusnya.
Switzerland merupakan salah satu pusat penapisan emas terbesar dunia, dengan negara itu menempatkan lima kilang penapisan emas utama. – AGENSI

1 day ago
7

















































