Universiti di China tak minta lulus UEC

8 hours ago 6

PETALING JAYA – Kemasukan ke universiti-universiti ternama di China tidak mensyaratkan Sijil Unified Examination Certificate (UEC) apabila lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang kini diterima masuk ke institusi pengajian tinggi elit negara itu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi berkata, hasil perundingan beliau bersama universiti terkemuka China seperti Tsinghua University, Peking University dan Shanghai Jiao Tong University mendapati UEC bukan prasyarat kemasukan, sebaliknya penilaian dibuat berdasarkan kecemerlangan akademik serta keupayaan pelajar.

“Susulan perkembangan itu, Mara telah mula menghantar pelajar-pelajar SPM cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke universiti-universiti berprestij di China.

“Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memperkenalkan penguasaan bahasa ketiga sebagai elemen penting bagi melahirkan pelajar berdaya saing di peringkat global, melibatkan Bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Jerman, Jepun dan Korea,” katanya di media sosial.

Katanya, pelajar MRSM yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM serta berjaya menguasai salah satu bahasa berkenaan akan diberikan keutamaan untuk ditaja melanjutkan pengajian ke universiti-universiti terkemuka dunia mengikut negara bahasa pilihan masing-masing.

“Matlamat utama adalah untuk melahirkan generasi teknokrat dan profesional yang menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, di samping bahasa ketiga seperti Mandarin, Arab, Jepun, Korea, Jerman, Perancis atau Sepanyol,” katanya.

Beliau menegaskan, penguasaan pelbagai bahasa akan memudahkan pemindahan teknologi dan kepakaran, selain membuka ruang lebih luas kepada pembentukan jaringan ekonomi serta perniagaan antarabangsa dengan negara-negara maju pada masa hadapan.

Tambahnya, usaha berkenaan merupakan pelaburan jangka panjang Mara bagi memastikan generasi muda negara lebih bersedia menghadapi cabaran persaingan global.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |