Undang-undang berkaitan vape perlu diselaraskan – Nanostix

5 hours ago 3

PETALING JAYA – Nanostix Innovations Sdn Bhd. (Nanostix), syarikat pengeluar vape utama di Malaysia komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan demi memastikan industri vape Malaysia berkembang secara sihat, selamat dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun kata Pengarah Nanostix, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman, langkah beberapa kerajaan negeri menyemak semula pengharaman penjualan peranti alternatif kepada rokok itu didakwa tidak seiring dengan undang-undang dikuat kuasa Kerajaan Persekutuan.

Ini kerana, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam bagi mengawal selia industri itu secara sah.

“Langkah beberapa kerajaan negeri itu telah mengundang kekeliruan bukan saja kepada pemain industri tetapi kepada pengguna di negara ini.

“Ini kerana di satu pihak, Kerajaan Persekutuan telah menyeru kepada pengawalseliaan yang lebih baik tetapi pada masa yang sama berlakunya tindakan pengharaman penuh di peringkat kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahabudeen berkata, perkara itu menimbulkan persoalan seolah-olah kerajaan negeri menidakkan kebijaksanaan perundangan dan peraturan yang telah di buat di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai jenama vape tempatan yang telah beroperasi sejak 2018, Nanostix telah mematuhi segala peruntukan perundangan sedia ada,”tegasnya.

Mengulas lanjut, Shahebudeen berkata, isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah penyalahgunaan vape oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memasukkan atau menyeludup masuk bahan terlarang seperti ‘Vape Magic Mushroom’ ke Malaysia.

Malah katanya, ‘vape terlarang’ itu kini dijual secara terbuka di sosial media oleh pihak tidak bertanggungjawab dan ia bukannya vape yang dijual oleh syarikat tempatan yang sah.

Justeru katanya, Nanostix berharap pihak berkuasa dapat memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

“Ia termasuk pemantauan terhadap penyeludupan dadah berbahaya selain kawalan bahan mentah diutamakan kepada produk tempatan bagi memastikan kualiti dan keselamatan pengguna.

“Selain itu, kerajaan perlu mengadakan libat urus yang telus dengan industri sebelum membuat keputusan yang memberi kesan besar kepada ekosistem ekonomi tempatan,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |