Umur bawah 16 tahun mungkin dilarang guna telefon bimbit

18 hours ago 8

PUTRAJAYA – Larangan penggunaan telefon pintar kepada pelajar berusia 16 tahun ke bawah adalah antara tiga cadangan yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu adalah antara langkah yang boleh diperhalusi bagi menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk kes buli dan jenayah yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, dua lagi cadangan lain termasuk meningkatkan pemantauan keselamatan di sekolah dan penambahbaikan kandungan pendidikan yang menekankan nilai dan akhlak.

“Mesyuarat hari ini menumpukan masa yang panjang untuk membincangkan isu pendidikan, termasuk masalah disiplin yang menimbulkan kerisauan ramai pihak keluarga, ibu bapa dan pelajar.

“Dalam hal seperti ini, kita tidak boleh mengambil tindakan secara tergesa-gesa sebaliknya ia perlu diteliti dengan mendalam.

“Dua minggu lalu, dalam Mesyuarat Pendidikan Kebangsaan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, telah memberikan penjelasan yang panjang lebar. Namun, seperti yang saya nyatakan di sini, ada beberapa langkah yang perlu diambil segera,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5, di sini.

Katanya, antara cadangan yang perlu diteliti termasuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah.

Jelasnya lagi, kajian sedang dibuat mengenai larangan itu kerana banyak negara lain sudah melaksanakannya.

“Masih ada kelonggaran bagi penggunaan telefon untuk tujuan tertentu, tetapi saya fikir kita perlu tegas dalam hal ini, dengan penglibatan dan peranan aktif ibu bapa. Kita dapati pengaruh media sosial dan permainan dalam talian (online games) turut memberi kesan kepada tingkah laku pelajar,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau juga mahu supaya jaminan keselamatan di sekolah dipertingkatkan.

“Kita telah berbincang dengan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan pemantauan keselamatan sekolah dilaksanakan dengan lebih berkesan, walaupun ia bukan tugas utama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dalam kerangka Malaysia Madani, kerajaan amat menekankan aspek nilai, akhlak dan pendidikan yang seimbang.

“Kita tahu terdapat kira-kira empat hingga lima juta pelajar dan insiden seperti kes pelajar membunuh guru, kes buli dan masalah disiplin berulang amat membimbangkan.

“Walaupun ramai pelajar mendapat pendedahan pendidikan Islam termasuk di sekolah agama dan tahfiz namun, ada juga sebahagian kecil yang terdedah kepada fahaman yang tidak sepatutnya. Ini juga sedang diteliti oleh kerajaaan,” katanya.

Katanya, menteri-menteri kabinet, khususnya Menteri Pendidikan akan memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai cadangan dan inisiatif berkenaan sebelum diputuskan oleh kerajaan kelak.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |