Ujian FFR LRT3 dilakukan 24 jam sehari

2 hours ago 4

SHAH ALAM – Ujian larian tanpa gagal (FFR) LRT3 jajaran Shah Alam kini dijalankan 24 jam sehari bagi memastikan sistem dan tren benar-benar bersedia sebelum operasi dibuka.

Ketua Operasi Laluan Shah Alam Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohd. Ariffin Idris berkata, ujian berterusan itu melibatkan kesemua 22 tren yang perlu melepasi FFR mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta dipantau oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“FFR ini adalah SOP wajib. Kalau gagal, laluan tidak boleh dibuka. Ujian dijalankan siang dan malam, termasuk tengah malam, dengan penglibatan kepakaran daripada pengeluar asal peralatan.

“Maknanya kalau 2,500 kilometer kena jalan. Kalau berhenti di stesen dan tiba-tiba pintu tidak dibuka, gagal. Jadi, zero balik dan selesaikan masalah itu. Macam itu punya ketat prosedur kita,” katanya pada majlis mesra media di sini, hari ini.

Menurut beliau, walaupun tiga tren telah mencapai jarak perjalanan yang ditetapkan, penilaian semula dibuat kerana APAD akan meneliti semula semua kriteria keselamatan dan operasi.

“Sepatutnya sistem, laluan dan tren berada pada tahap 100 peratus siap. Selain itu, operator juga mesti benar-benar bersedia kerana tanpa operator yang bersedia, operasi tidak boleh dijalankan,” jelasnya.

Mohd. Ariffin berkata, pihaknya telah mengenal pasti 35 isu teknikal yang memerlukan penyelesaian menyeluruh dan ujian FFR akan dipergiatkan bermula Januari ini.

“Walaupun kebanyakan isu telah diselesaikan, kita mahu pastikan penyelesaian itu benar-benar berfungsi. Itu sebab kita lakukan dry run (ujian operasi) dan orang ramai di Shah Alam dan Klang akan nampak tren bergerak secara berterusan.

“Perisian adalah antara komponen paling penting dan perlu dinaik taraf. Kita panggil ini sebagai baseline. Sepanjang ujian, ada kemungkinan isu baharu timbul dan ia akan terus diselesaikan,” katanya.

Mengenai jangkaan pembukaan LRT3, beliau berkata, pihak pengurusan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada media pada Januari depan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Prasarana mengesahkan LRT Laluan Shah Alam tidak beroperasi pada tahun ini berbanding disasarkan sebelum ini pada 30 September lalu susulan berdepan 33 isu teknikal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |