Ubaidullah impi ke Sukan Asia 2026

1 hour ago 1

KAPTEN skuad bawah 23 (B-23) negara, Ubaidullah Shamsul Fazili memasang impian besar untuk terus mewakili pasukan pelapis Harimau Malaya pada temasya Sukan Asia 2026 yang akan berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun pada Julai depan.

Menurut Ubaidullah, kejayaan meraih pingat gangsa pada edisi ke-33 ini diharap bukanlah penampilan terakhir, sebaliknya mahu terus berusaha untuk berbakti dengan skuad B-23 pada tahun akan datang.

Tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC) itu berkata, kesempatan untuk beraksi dalam temasya Sukan Asia 2026 juga tidak boleh dilepaskan kerana ia adalah kejohanan yang lebih berprestij.

“Kalau boleh pastinya saya nak main Sukan Asia kerana kita tahu pasukan beraksi di sana jauh lebih berkualiti (berbanding Sukan SEA). Kalau ada rezeki, kenapa tidak (sekali lagi mewakili skuad B-23).

“Malah, tahun depan pun saya masih layak kerana genap berusia 23 tahun tetapi kita perlu tunggu peraturan diumumkan nanti sama ada 23 tahun masih layak atau kena 22 tahun dan ke bawah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Sebagai rekod, skuad B-23 negara berjaya menamatkan kemarau lapan tahun dengan meraih pingat acara bola sepak lelaki buat kali pertama sejak temasya Sukan SEA edisi Kuala Lumpur 2017 dengan menewaskan Filipina dalam aksi penentuan gangsa.

Keputusan tersebut memberi keceriaan buat skuad kendalian Nafuzi Zain selepas dikritik hebat apabila gagal pamer aksi konsisten sebelum ini.

Bagi kalendar tahun depan, skuad B-23 dijangka menyerta temasya Sukan Asia 2026 selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menarik diri pada edisi 2022 di China atas kekangan yang tidak didedahkan.  – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |