Tukang kebun maut rempuh lembu sado

1 week ago 12

BALING – Seorang tukang kebun terbunuh apabila motosikal yang dia tunggang merempuh seekor lembu sado di Kampung Sera, Jalan Baru Baling-Kupang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, mangsa, Muhammad Noor Ikhwan Sudin, 43, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada muka dan badan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mohd. Azmi Mokhtar berkata, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Honda dan kereta jenis Perodua Bezza.

Penunggang motosikal maut akibat melanggar lembu sado di Jalan Baru Baling-Kupang, Kampung Sera di Baling malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta tersebut datang dari arah Bakai menghala ke Baling.

“Kereta itu bergerak lurus sebelum melanggar seekor lembu sado yang berada di tengah laluan.

“Akibat perlanggaran itu, haiwan tersebut melambung di atas bumbung kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya arah Baling,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pada masa sama, mangsa yang menunggang motosikal dari arah belakang kereta berkenaan juga tidak sempat mengelak lalu turut melanggar lembu itu.

“Rempuhan mengakibatkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala dua penumpang kereta mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Daerah Baling untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |