Tujuh perompak kedai emas Sungai Golok ada di Malaysia

5 hours ago 5

YALA, THAILAND – Tujuh daripada 10 perompak berpakaian serba hitam dan bersenjata raifal M16 dan AK104 yang melepaskan tembakan ketika merompak barangan kemas bernilai RM3.11 juta dari sebuah kedai emas di Sungai Golok dekat sini pada 5 Oktober lalu dipercayai sudah berada di Malaysia.

Panglima Tentera Wilayah Ke-4, Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok berkata, tiga daripada suspek yang terlibat dalam kes tersebut ditahan di Selatan Thailand selepas kejadian tersebut.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, ketujuh-tujuh suspek yang lolos dipercayai dibawa oleh kumpulan tertentu sebelum mereka merentas sempadan secara haram ke Malaysia.

“Tujuh suspek yang terlibat sudah melarikan diri ke Malaysia manakala lagi tiga lelaki ditahan menerusi operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa di Thailand.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, ada individu atau kumpulan membantu dan membawa mereka sehingga lolos ke Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita dari Malaysia di Kem Sirindhorn, di sini semalam.

Difahamkan, tiga suspek yang terlibat dalam kejadian itu ditahan di Sungai Padi dekat Sungai Golok pada 15 Oktober lalu iaitu 10 hari selepas rompakan tersebut.

Mengulas lanjut, Naratip memberitahu, siasatan lanjut turut mendapati, dua buah trak pikap yang dinaiki tujuh suspek yang ditinggalkan di kebun kelapa sawit di Mukim Kayukhla, Daerah Waeng dekat sini juga merupakan kenderaan curi.

Menurutnya, sehubungan itu, Tentera Wilayah Ke-4 sudah berhubung dan memberi maklumat kepada pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) mengenai tujuh suspek yang disyaki lolos ke negara jiran.

“TDM juga sudah mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan akan membantu kita mengesan tujuh suspek itu,” katanya.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, suasana tenang di sebuah pasar raya di daerah ini pada 5 Oktober lalu bertukar kecoh apabila 10 lelaki berpakaian serba hitam dan bersenjata raifal M16 dan AK104 melepaskan tembakan ketika merompak sebuah kedai emas.

Dalam kejadian terancang pukul 6.30 petang itu, kumpulan perompak tersebut melarikan pelbagai barangan kemas bernilai RM3.11 juta.

Jurucakap Polis Wilayah 9 berkata, kumpulan perompak yang melepaskan tembakan ketika merompak barangan kemas bernilai RM3.11 juta di sebuah kedai emas di Sungai Golok itu berkemungkinan lolos ke Malaysia.

Menurutnya, siasatan mendapati, dua buah trak pikap yang disyaki digunakan kumpulan perompak terbabit ditinggalkan di kebun kelapa sawit di Mukim Kayukhla, Daerah Waeng, di sini selepas kejadian.

Sementara itu, Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, penemuan darah di dalam trak pikap yang digunakan kumpulan itu membongkar identiti lima daripada 10 suspek yang terlibat dalam kes itu.

Menurutnya, individu terbabit ialah Muhammad Nasai Jeyo, Bakri Samea, Suhaiming Awanu, Mahama Romsee Jehteh dan Saifuddin Yusoh.

Menurutnya, polis mengenal pasti suspek terbabit yang merupakan warga Thailand selepas melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas darah tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |