Trump pertahan rancangan terima Air Force One dari Qatar

4 hours ago 1

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempertahankan rancangan untuk menerima pesawat Air Force One baharu sebagai hadiah, selepas laporan menyebut beliau akan menerima jet Boeing mewah dari Qatar.

Menggelarkannya ‘istana terbang’, saluran berita ABC News yang pertama kali melaporkan berita itu berkata, jet jumbo Boeing 747-8 dihadiahkan oleh keluarga diraja Qatar itu merupakan hadiah paling mahal pernah diterima oleh kerajaan AS.

Meskipun Trump mendakwa pesawat tersebut diberikan secara percuma, ia menimbulkan persoalan mengenai percanggahan kepentingan berhubung jawatan beliau sebagai Presiden AS.

Dalam catatan di media sosial lewat semalam yang tidak menyebut tentang Qatar, Trump berkata, pesawat itu adalah hadiah sementara dan akan diberikan kepada Jabatan Pertahanan.

Jelasnya, ia akan menggantikan model Air Force One sedia ada yang berusia empat dekad.

Trump, berkata, proses itu berlaku sebagai urus niaga telus tetapi tidak menyatakan sama ada mana-mana pihak menerima sesuatu sebagai balasan.

Beliau sebaliknya menyalahkan Parti Demokrat kerana mahu mengeluarkan wang rakyat untuk membina pesawat rasmi  Air Force One baharu walaupun bukan satu keperluan.

Qatar dengan pantas cuba meredakan kekecohan itu dengan mengatakan bahawa laporan yang menggambarkan jet itu sebagai hadiah adalah tidak tepat.

“Kemungkinan pemindahan pesawat untuk kegunaan sementara sebagai Air Force One kini dalam pertimbangan antara Kementerian Pertahanan Qatar dan Jabatan Pertahanan AS,” kata wakil media Qatar di Washington, Ali Al-Ansari sambil menegaskan, tiada keputusan dibuat.

Perlembagaan AS melarang pegawai kerajaan daripada menerima hadiah daripada mana-mana raja, putera atau negara asing dalam bahagian yang dikenali sebagai klausa emolumen. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |