Trump lawat Malaysia, ASEAN bahas isu Gaza, keamanan serantau

6 hours ago 2

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang tiba di negara ini bagi lawatan rasmi dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertama Trump ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lalu.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, kehadiran Trump bakal memberi memberikan ruang penting untuk ASEAN menyampaikan pendirian bersama mengenai isu-isu serantau dan global. “(Ini) termasuk keamanan, perdagangan, tenaga, situasi di Asia-Pasifik dan juga Gaza,” katanya dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Katanya, Anwar akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dibahagikan kepada dua sesi utama iaitu Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman.

“Dalam Sesi Pleno, para pemimpin akan meneliti kemajuan pembinaan Komuniti ASEAN serta membincangkan langkah-langkah memperkukuh integrasi serantau, pertumbuhan ekonomi dan keterhubungan.

“Perbincangan akan turut menyentuh hubungan luar, dengan penekanan kepada perpaduan, kepusatan dan komitmen ASEAN terhadap sistem antarabangsa berasaskan hukum,” ujarnya

Sementara itu, Sesi Pemukiman pula katanya, akan memberi fokus kepada pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (Five-Point Consensus, 5PC) berhubung situasi di Myanmar serta pertukaran pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Selain sidang utama ujarnya, Anwar turut dijadual menghadiri beberapa mesyuarat dua hala bersama Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, Perdana Menteri juga akan mempengerusikan beberapa sidang kemuncak lain termasuk Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22 (secara maya), Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3, serta Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |