Treler bawa 33 tan beras Siam seludup ditahan PGA

4 weeks ago 19

JELI – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan cubaan sindiket untuk menyeludup sebanyak 33 tan beras putih dari Thailand selepas menahan sebuah treler di Batu Melintang di sini semalam.

Rampasan dijalankan kira-kira pukul 12.45 tengah malam semasa anggota PGA menjalankan tugas menerusi Op Taring Bravo 4 di kawasan tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di dalam treler mendapati kenderaan itu membawa sebanyak 660 guni beras putih seberat 33,000 kilogram.

Menurutnya, pemandu treler yang berusia 29 tahun gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan beras tersebut.

Sebuah treler membawa beras Siam seludup yang ditahan di Batu Melintang, Jeli semalam. FOTO IHSAN PGA

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua beras itu dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Pemandu itu disyaki berperanan sebagai penghantar beras tersebut ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, keseluruhan rampasan termasuk sebuah treler yang dirampas dianggarkan bernilai RM632,000.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |