GEORGE TOWN – Hubungan udara antara Indonesia dan Malaysia bakal diperkukuh apabila syarikat penerbangan TransNusa Aviation mengumumkan pelancaran laluan penerbangan terus pertamanya antara Jakarta dan Pulau Pinang bermula 24 November ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, penerbangan sulung itu menandakan kemasukan rasmi TransNusa ke pasaran Pulau Pinang, sekali gus membuka satu lagi pintu masuk antarabangsa ke negeri ini.
”Pelancaran laluan ini amat signifikan dan hadir tepat pada waktunya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Ia mencerminkan komitmen Pulau Pinang dalam memantapkan sektor pelancongan antarabangsa,” katanya di sini hari ini.
Tiket penerbangan kini boleh didapati melalui laman web rasmi TransNusa dan penerbangan tersebut akan bermula tiga kali seminggu iaitu setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sebelum ditingkatkan kepada penerbangan harian pada Disember depan.
Hon Wai berkata, 2026 turut diisytiharkan sebagai Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia yang menjadikan laluan itu penting bagi memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan perubatan dan santai serantau.
”Dengan populasi 285.7 juta orang, Indonesia merupakan pasaran besar untuk Malaysia, dengan Jakarta sahaja menempatkan lebih 10 juta penduduk.
“Berdasarkan data Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Pulau Pinang menyumbang kira-kira 45 peratus hasil keseluruhan pelancongan kesihatan negara manakala pelawat Indonesia mewakili 65.8 peratus daripada jumlah itu.
”Di utara Malaysia, hampir 90 peratus pelancong kesihatan datang dari Indonesia, sekali gus menunjukkan kebergantungan tinggi terhadap pasaran jiran ini.
”Dari segi ketibaan pelancong umum, Pulau Pinang merekodkan 284,364 pelawat Indonesia antara Januari hingga September tahun ini, meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
5





![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)











































