TAPAH – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar dan terkawal meskipun berlaku peningkatan kenderaan sehingga 1.82 juta pada hari terakhir Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, aliran trafik menghala masuk ke ibu negara turut lancar walaupun bergerak perlahan akibat kesesakan.
“Para pengguna lebuh raya faham dengan keadaan ini dan telah merancang perjalanan dari awal,” katanya kepada pemberita pada Program Advokasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 104,235 saman trafik dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negara dalam Op Selamat 23 yang dilancarkan bermula 28 Januari lalu sehingga hari terakhir operasi itu, hari ini.
Katanya, jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 43 peratus berbanding 183,033 saman yang dikeluarkan dalam Op Selamat 21, tahun lalu.
“Saman terhadap pemandu melebihi had laju merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 44,940 saman, diikuti kesalahan lampu isyarat (2,034), memandu menggunakan telefon bimbit (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573) dan memotong di garisan berkembar (321),” katanya. – KOSMO! ONLINE