‘Tolong selamatkan mereka di luar negara’

4 hours ago 1

ISKANDAR PUTERI – Seramai lapan individu termasuk anak muda menjadi mangsa sindiket tawaran kerja palsu di luar negara dan kini memohon bantuan untuk diselamatkan.

ADUN Skudai, Marina Ibrahim berkata, kes sedemikian semakin membimbangkan apabila kebanyakan mangsa ditipu dengan janji pekerjaan bergaji lumayan sebelum dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di beberapa negara Asia Tenggara.

“Saya telah menerima lapan aduan termasuk daripada ibu bapa sendiri yang datang merayu supaya anak mereka dibawa pulang.

“Daripada jumlah itu, dua mangsa berjaya diselamatkan termasuk kes terbaharu membabitkan seorang pemuda bernama Joe yang pada mulanya ditawarkan kerja sebagai pembakar sate tetapi akhirnya dipaksa menjadi ‘scammer’ di Sihanouk, Kemboja.

“Manakala enam lagi mangsa masih belum dibawa pulang dan kes berkenaan melibatkan negara seperti Kemboja, Taiwan, Myanmar dan Vietnam,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Skudai di sini, hari ini.

Marina berkata, kisah Joe menjadi antara contoh bagaimana anak muda mudah terpedaya dengan tawaran kerja bergaji tinggi di luar negara.

“Joe sendiri menghubungi saya pada Julai lalu meminta diselamatkan. Saya segera memohon bantuan Wisma Putra dan Kementerian Luar Negeri, dan alhamdulillah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memberi kerjasama baik dengan menghantar pegawai ke Sihanouk.

“Proses membawa pulang mengambil masa kira-kira tiga minggu,” katanya.

Marina turut menggesa satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti bagaimana ‘scammer’ luar negara mampu memperoleh data rakyat Malaysia dengan begitu mudah.

“Pendedahan mangsa yang pernah dipaksa bekerja di sana seperti Joe, menunjukkan data peribadi rakyat mudah diakses oleh pihak tertentu. Ini amat membimbangkan.

“Tidak hairanlah ramai anak muda, tidak kira bangsa menjadi sasaran sindiket yang menjanjikan gaji tinggi dalam mata wang dolar Amerika,” katanya.

Marina turut menasihatkan golongan muda agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan di luar negara yang sering disebarkan melalui kenalan atau media sosial.

“Kita faham anak muda kini teruja mencari rezeki dan tertarik dengan tawaran gaji lumayan, namun jangan mudah terpedaya, apatah lagi jika ia datang daripada kenalan atau rakan rapat.

“Ramai ibu bapa yang datang ke pejabat ADUN meminta saya memujuk anak mereka supaya tidak mempercayai tawaran kerja di luar negara yang kononnya menjanjikan pendapatan tinggi, sedangkan hakikatnya indah khabar daripada rupa,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |