KEJOHANAN TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) 2025 yang bakal berlangsung dari 4 Januari hingga 22 Februari itu menyaksikan beberapa penambahbaikan termasuk peraturan pemain import dan kebangsaan, penglibatan pasukan antarabangsa serta usaha meningkatkan kualiti pengadilan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Dr. Anil Sandhu menjelaskan pihaknya mendengar maklum balas jurulatih mengenai isu pengadilan yang dikatakan tidak selari dengan peraturan terkini.
“Jawatankuasa Pengadil dan Komiti Umpire sentiasa mengadakan taklimat serta pertemuan berkala setiap empat hingga lima bulan. Ini penting untuk memastikan pengadil memahami perubahan peraturan yang sering berlaku.
“Kita juga perlu memberi ruang kepada tenaga muda untuk berkembang, walaupun mungkin terdapat kekurangan dalam proses pembelajaran mereka,” katanya.
Selain itu, KHM turut memberi perhatian khusus kepada jadual perlawanan bagi memastikan pemain kelab yang mewakili skuad kebangsaan terutama bagi yang terlibat untuk Piala Dunia Dalam Dewan di Croatia.
“Ramai pemain kita terikat dengan komitmen antarabangsa seperti Piala Dunia Dalam Dewan di Croatia. Oleh itu, kami merancang jadual dengan teliti, sekurang-kurangnya memenuhi 80 peratus daripada keperluan mereka,” tambah Anil.
Sementara itu, edisi kali ini turut memperkenalkan dua pasukan baharu untuk kategori lelaki dan wanita, iaitu Territory Stringers dari Australia dan Matador Hockey Club sementara skuad ATM turut membuat kemunculan semula selepas kali terakhir bersaing pada 2016 sebagai ATM Pernama.
Dalam format yang diperbaharui, pasukan dibenarkan mendaftarkan maksimum lapan pemain import, namun hanya enam pemain import atau kebangsaan boleh berada di atas padang dalam satu masa bagi perlawanan sesama pasukan domestik.