‘Jangan orang Islam sahaja kena jaga orang bukan Islam’

3 hours ago 2

KUANTAN – “Jangan orang Islam nak jaga orang bukan Islam sahaja, tetapi orang bukan Islam juga kena jaga sensitiviti orang Islam.”

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan (mewakili golongan profesional), Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari mengenai keceluparan individu bukan Islam yang dilihat cuba mencampuri urusan Islam.

Katanya, ingatan itu penting bagi memastikan keharmonian yang telah lama wujud di negara ini terus berkekalan dan semua kaum dapat menikmati keamanan dan kemakmuran negara.

Tegasnya, semua pihak termasuk yang mewakili mana-mana parti politik diminta jangan terus mengguris perasaan umat Islam sekali gus tidak membangkitkan kemarahan umat Islam.

“Jadi saya nasihat kepada orang bukan Islam khususnya jangan menyentuh bab agama Islam. Berhati-hatilah, kita hidup dalam keadaan harmoni.

“Awak kena ingat sendiri perlembagaan kita. Taat setia kepada raja-raja, agama Islam agama Persekutuan, jadi saya berpesan kepada bukan Islam terutama sekali parti politik non muslim ini hati-hati dalam ucapan mereka,” katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan sesetengah individu bukan Islam yang dilihat cuba mencampuri urusan agama Islam di negara ini.

Beliau mengingatkan orang Islam agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menghina Islam walaupun hanya bertujuan untuk gurauan dan lawak jenaka.

Katanya, perkara seperti itu harus dielakkan kerana akan memberi kesan kepada masyarakat termasuk generasi muda selain boleh menjejaskan akidah individu itu sendiri.

“Kita sebagai orang Islam kena faham, perkara yang boleh keluarkan kita daripada Islam iaitu dengan mulut, lisan dan tingkah laku.

“Mulut ini kita mempersendakan nama Allah atau persenda nabi, kita boleh jatuh murtad, menggunakan perbuatan seperti kita tunduk kepada patung sembahan berhala orang kafir murtad, hati kita yakin selain daripada Allah itu lebih berkuasa, murtad,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |