KUALA LUMPUR – Peruntukan hampir RM13 bilion telah disalurkan kerajaan bagi inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dalam usaha membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, sebanyak RM300 juta pula diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah manakala RM700 juta bagi program mengawal harga barang menerusi usaha sama dengan pelbagai pihak.
“Sementara itu bagi Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan, sebanyak RM40 juta turut diperuntukkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu berhubung saranan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ke arah memerangi kenaikan kos sara hidup seperti yang diterbitkan di bawah laporan Indikator Kos Sara Hidup.
Hanifah Hajar berkata, laporan Indikator Kos Sara Hidup 2023 yang dilancarkan tahun lepas mengandungi Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup bagi mengukur kos sara hidup dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu bagi memudahkan rakyat, beliau berkata kerajaan menyediakan kalkulator sebagai panduan untuk merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan keluarga menerusi aplikasi MyPAKW yang boleh dicapai pada laman sesawang mypakw.dosm.gov.my.
Katanya lagi, kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) melaksanakan usaha berterusan bagi mengatasi isu kenaikan kos sara hidup rakyat dengan memberikan tumpuan kepada tujuh kluster keutamaan meliputi perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti, kesihatan, makanan dan pendapatan.
Jelasnya, sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang mempunyai profil bagi semua 30.1 juta individu warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia juga membolehkan kerajaan menjalankan pemantauan dan penilaian secara berkesan bagi membantu rakyat mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup. – KOSMO! ONLINE.