Keluarga wanita maut langgar lubang besar terima ganti rugi RM181,200

2 hours ago 2

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan keluarga mangsa wanita yang maut dalam kemalangan selepas melanggar lubang besar ditakungi air di Jalan Tampin-Gemas, empat tahun lalu menerima ganti rugi dan pampasan keseluruhan bernilai RM181,200.

Hakim Wan Fadhilah Wan Idris membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan plaintif iaitu suami kepada mangsa, Luqman Hakim Hendon, 45, bersama tiga orang anaknya yang difailkan pada 12 Jun tahun lalu.

Wan Fadhilah memutuskan kos kehilangan tanggungan dinaikkan kepada RM144,000, kos perubatan sebanyak RM7,200 dibenarkan dan pampasan bagi kecederaan kepala mangsa dinaikkan dari RM10,000 ke RM30,000.

Dalam prosiding tersebut, Wan Fadhilah turut memerintahkan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menanggung 80 peratus liabiliti kecuaian, liabiliti terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kerajaan Malaysia dikekalkan 20 peratus.

Manakala sumbang salah ke atas mangsa, Norhamizah Mahadi sebanyak 10 peratus sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu sekali gus mengubah keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada 10 Jun 2024 yang memerintahkan Sains bertanggungan 70 peratus manakala mangsa, Norhamizah Mahadi menyumbang salah sebanyak 10 peratus.

Mengikut fakta kes, dalam kemalangan pada pukul 5.50 pagi, 12 Februari 2020 di Kilometer 28, Jalan Tampin-Gemas, Norhamizah memandu kereta jenis Proton Persona bersama suaminya.

Ketika dalam perjalanan, Norhamizah telah melanggar lubang besar ditakungi air di lokasi dan menyebabkan kenderaan dinaiki hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Insiden itu mengakibatkan Norhamizah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Luqman Hakim mengalami cedera parah.

Siasatan mendapati, lubang tersebut berpunca daripada kecuaian dalam penyelenggaraan paip bawah tanah dan jalan raya oleh pihak Sains serta JKR. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |