Rupa nombor 2, paling utama hati dan setia

1 hour ago 2

PETALING JAYA – “Cinta bukan soal rupa, tetapi tentang siapa yang sanggup susah dan senang bersama.”

Itulah prinsip yang dipegang oleh seorang penjawat awam, Muhammad Aiman Hakim Roslan, 24, apabila memutuskan untuk bertunang dengan Nur Fitri Hamsiah Sharudin, 21, walaupun menerima pelbagai komen berbaur penghinaan fizikal di media sosial.

Kisah pasangan ini menarik perhatian netizen selepas video mereka tular di platform TikTok milik @Nurfitriiee0, mencetuskan pelbagai reaksi termasuk komen bersifat ‘body shaming’ terhadap fizikal Nur Fitri.

Bagaimanapun, pasangan ini memilih untuk kekal positif dan menjadikan kata-kata tersebut sebagai pemangkin semangat.

Muhammad Aiman berkata, bahawa penampilan bukan keutamaan dalam memilih pasangan hidup.

“Orang sering tanya kenapa pilih perempuan seperti dia. Saya percaya pasangan hidup bukan sekadar cantik semata-mata, tetapi seseorang yang boleh bersama kita dalam susah dan senang.

“Dia ada ketika saya memerlukan dan tidak pernah meninggalkan saya,” katanya.

Mengulas mengenai komen negatif yang diterima, dia menegaskan bahawa mereka tidak mengambil berat dan memilih untuk memberi tumpuan kepada perkara positif.

“Kalau kita ikutkan hati, memang akan terasa dengan komen-komen yang sebegitu. Tetapi saya pesan kepada tunang supaya abaikan dan jangan tengok komen tersebut. Kalau nak tengok, ambil dari sudut positif, bukannya negatif.

“Manusia akan sentiasa mencari kesalahan walaupun seseorang itu sudah cukup baik di mata orang lain,” katanya.

Aiman turut meluahkan rasa syukur apabila keluarganya menerima pilihan hatinya dengan terbuka.

“Keluarga saya tidak pernah mempertikaikan fizikal atau penampilan tunang saya. Mereka melihat hati budi dan keserasian antara kami. Alhamdulillah, mereka menyokong keputusan kami,” katanya

Dalam pada itu Nur Fitri berkata, perkenalan mereka berlaku secara tidak disangka-sangka melalui aplikasi temu janji.

“Saya tak ingat macam mana kami kenal mula-mula, tapi kami pernah berkawan. Kemudian terputus hubungan hampir empat tahun.

“Pada satu malam, saya bosan dan menggunakan aplikasi temu janji yang mempunyai fungsi ‘random call’. Selepas berbual dan saling menyukai dalam aplikasi tersebut, barulah kami sedar rupa-rupanya kami pernah berkawan,” katanya.

Menurutnya, sejak malam itu mereka terus berhubung dan dalam tempoh hanya beberapa hari, mereka memutuskan untuk menjalin hubungan secara serius dan bertunang.

“Walaupun baru lima bulan bercinta, kami sudah pun bertunang dan kini merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan,” ujarnya.

Tambahnya, tunangnya tidak pernah memintanya untuk berubah demi penampilan, sebaliknya, Nur Fitri sendiri yang mengambil inisiatif untuk diet demi menjaga kesihatan.

“Tunang saya sentiasa puji dan menghargai kelebihan saya. Dia tidak pernah mengkritik atau menyuruh saya untuk berubah dari segi fizikal. Dia menerima saya seadanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kisah pasangan ini menjadi simbol bahawa cinta sejati tidak dinilai dari paras rupa semata-mata, sebaliknya dari keikhlasan hati, kesetiaan dan penerimaan seadanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |