Khazanah untung RM5.1 bilion tahun lalu

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Dana kekayaan berdaulat Malaysia, Khazanah Nasional Berhad mencapai keuntungan daripada operasi sebanyak RM5.1 bilon pada 2024, didorong strategi pengewangan berdisiplin, pendapatan dividen stabil dan peningkatan nilai saksama daripada ekuiti awam global.

Nilai Aset Bersih (NAV) Khazanah meningkat kepada RM103.6 bilion berbanding RM84.8 bilion pada 2023, iaitu peningkatan ketara sebanyak RM18.8 bilion.

Dari perspektif keseluruhan portfolio Khazanah, pertumbuhan NAV keseluruhan meningkat daripada RM33 bilion pada 2004 kepada RM104 bilion pada 2024 untuk mencapai kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 5.9 peratus.

Khazanah turut mengumumkan dividen sebanyak RM1 bilion untuk 2024 kepada Kerajaan Malaysia, menyumbang kepada jumlah terkumpul sebanyak RM19.1 bilion dividen yang dibayar sejak 2004.

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pihaknya mencapai pertumbuhan ketara dalam portfolio pada 2024, didorong oleh prestasi yang kukuh bagi pelaburan Malaysia, terutamanya pegangan dalam konstituen utama yang mengatasi KLCI berikutan prestasi kukuh dalam pasaran domestik, pertumbuhan berterusan ekuiti awam di pasaran maju, dan pemulihan di pasaran yang baru muncul.

“Prestasi positif ini juga didorong oleh rangka kerja Ekonomi Madani, yang diterajui oleh Perdana Menteri yang jelas menunjukkan bagaimana pelaburan strategik dan amalan mampan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

“Kami yakin bahawa Malaysia akan terus mengekalkan daya tahan, dibantu oleh kestabilan politik dan arah dasar yang jelas.

“Aliran masuk pelaburan yang signifikan dari sumber asing dan domestik mencerminkan keyakinan terhadap potensi negara untuk pertumbuhan yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |