JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang membangunkan sistem Perkomputeran Prestasi Tinggi Kecerdasan Buatan (AI) dalam merintis sebuah universiti awam yang memperkasakan penyelidikan AI.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd Rahim berkata, pembangunan High Performance Computing (HPC) itu dijangkan akan siap dilaksanakan sekitar bulan Jun atau Julai depan.
Tegasnya, dengan siapnya HPC, tempoh penyelidikan dan pengkomerselan berkaitan AI akan lebih cepat.
“Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) UTM dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Mei 2024 dan UTM telah menerima 101 graduan pertama dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Untuk memperkasakan memperkasakan penyelidikan AI mengikut trend semasa, empat jabatan ditubuhkan dibawah Fakulti AI ini.
“Antara jabatan itu ialah pertama Jabatan Kepintaran Maklumat yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dalam teknologi baharu AI,” katanya ketika ditemui selepas berucap pada Majlis Perutusan Naib Canselor Kelapan UTM 2025 di UTM Skudai di sini hari ini.
Mohd. Shafry berkata, jabatan seterusnya adalah Jabatan Business Intelligence (BI), Humanities and Governance yang berperanan untuk membangunkan teknologi berkaitan dengan perniagaan dan juga menyediakan garis panduan berkaitan etika untuk berdepan cabaran AI.
Katanya, dua jabatan lain ialah Jabatan Kejuruteraan Pintar dan Teknologi Lanjutan serta Jabatan Kreatif AI.
Ujarnya, semua jabatan tersebut mempunyai peranan masing-masing untuk merealisasikan UTM sebagai sebuah universiti awam (UA) perintis kepada pembangunan AI di seluruh UA dan swasta.
“Selain daripada itu pensyarah kita sekarang ini banyak membuat program komuniti untuk memberi pendidikan berkaitan dengan AI,” katanya.
Mengulas lanjut, berkaitan saranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud supaya kesemua 20 universiti awam membuat semakan terhadap kurikulum kursus pengajian harus mempunyai elemen AI, Mohd Shafry berpendapat, saranan itu merupakan satu strategi ampuh kementerian untuk melahirkan graduan yang memahami penggunaan AI.
“Berkaitan dengan perubahan fakulti, autonomi sebenarnya diberikan kepada universiti masing-masing termasuklah IPTS untuk mereka sediakan fakulti tersebut.
“Walaubagaimanapun, berdasarkan maklumat kita ada, 19 program akademik telah pun ditawarkan di IPTA berkaitan dengan AI,” katanya. – KOSMO! ONLINE