‘Titik terendah hidup apabila kehilangan sahabat baik dalam perkahwinan’

6 hours ago 4

PETALING JAYA – Pelakon Diana Danielle mengakui kehilangan bapa selain mengetahui ibu menghidap kanser sudah tentu memeritkan namun pedihnya kehilangan ‘sahabat baik’ dalam rumah tangga sendiri sangat menyakitkan.

Ujar Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, perceraian bukanlah momen paling luka, sebaliknya hubungan rapat yang hilang dalam bahtera perkahwinan menjentik jiwanya paling dalam.

“Kehilangan bapa saya adalah salah satu daripada pengalaman paling perit. Masa dapat tahu ibu menghidap kanser ketika saya berumur 12 tahun juga sangat menyedihkan.

“Momen kehilangan rumah tangga juga bukanlah titik terendah hidup saya.

“Namun kehilangan sahabat baik dalam perkahwinan, itulah titik paling rendah dalam hidup saya,” katanya dalam sebuah program audio siar.

Tambah pelakon Imaginur itu, menerima hakikat bahawa insan yang pernah seiring langkah akhirnya membawa haluan berbeza adalah sesuatu yang cukup payah.

“Menerima kenyataan mungkin kita bukan lagi satu pasukan. Kita dah tak seiring dan tak sejalan itu sangat sukar sampai sekarang.

“Saya rasa puncanya mungkin seiring waktu berjalan dan perlahan-lahan menyedari apa yang dahulu bukan yang sekarang.

“Ketika itu saya tidak tahu apa saya mahu dan perlukan, tapi lama kelamaan, kita sedar, kita bukan untuk satu sama lain. Tidak berada dalam satu muka surat lagi,” ujarnya.

Perkongsian tersebut pantas menjadi tular, sekali gus mencetuskan reaksi pelbagai daripada netizen.

Rata-rata netizen membuat andaian bahawa ‘sahabat baik’ yang dimaksudkan Diana merujuk kepada bekas suaminya, pelakon Farid Kamil.

“Saya rasa sahabat baik yang dimaksudkan adalah Farid Kamil sebab siapa lagi kan kalau bukan dia,” ujar seorang pengguna media sosial.

“Kadang bukan kehilangan pasangan yang buat sakit, tapi kehilangan orang yang pernah paling rapat dalam hidup kita. Itu yang sukar untuk ditelan,” komen netizen.

“Kadang bila dah tak boleh jadi pasangan, kita masih harap boleh jadi sahabat. Tapi bila dua-dua tak jadi, memang remuk jiwa,” luah seorang lagi netizen.

Untuk rekod, Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 serta dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

Pasangan itu pernah bercerai kali pertama secara Google Meet pada 10 Ogos 2023, kemudian kembali rujuk, namun akhirnya disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 23 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |