Tiga lelaki didenda simpan video, gambar gay dalam telefon semasa serbuan di banglo

7 hours ago 6

KOTA BHARU – Tiga lelaki termasuk dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) didenda masing-masing RM3,000 dan RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki gambar dan video lucah jantina sejenis semasa serbuan di sebuah rumah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini pada 18 Jun lalu.

Tertuduh, Mohd. Hanafi Ibrahim,47, Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22, dan Mohamad Syahmi Firas Mohd. Jurij, 27 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit masing-masing.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor, di sini kira-kira pukul 1.15 pagi pada 18 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Samantha Chong Yin Xin.

Terdahulu, Muhammad Nadzir dan Nur Haziqah memohon hukuman setimpal agar perbuatan ketiga-tiga tertuduh memberi pengajaran kepada masyarakat memandangkan perbuatan tersebut tidak bermoral dan bertentangan dengan norma awam.

Samantha dalam rayuannya meminta hukuman denda paling minimum kerana ketiga-tiga tertuduh sudah insaf selain berjanji akan berubah.

“Mohd. Hanafi memiliki masalah kesihatan dalam otak selain pernah menjalani pembedahan kepala pada 2016 dan tertuduh ketika ini ditanggung oleh kakaknya.

“Muhammad Al Azamuddin pula merupakan penuntut universiti tahun pertama dan Mohamad Syahmi Firas adalah penuntut semester akhir di sebuah politeknik.

“Ketiga-tiga anak guam saya sudah insaf selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut. Keluarga tertuduh juga berjanji akan membimbing mereka selepas ini,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM3,000 kepada Mohd. Hanafi manakala Muhammad Al Azamuddin dan Mohamad Syahmi Firas pula masing-masing RM4,000.

Mahkamah turut menetapkan enam bulan penjara sekiranya ketiga-tiga tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, seramai lebih 20 lelaki yang menyertai pertemuan kumpulan songsang di sebuah rumah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini terkejut apabila kediaman tersebut diserbu polis pada bulan lalu.

Serbuan dijalankan kira-kira pukul 1 pagi pada pertengahan bulan lalu selepas polis menjalankan intipan awal di rumah banglo tersebut yang dipercayai menjadi sarang untuk kumpulan tersebut berkumpul.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan pesta yang terdiri daripada golongan lelaki di rumah tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam banglo itu turut menjumpai ratusan kondom dan ubat virus kurang imun (HIV).

“Siasatan awal mendapati, tiada sebarang kegiatan persetubuhan luar tabii berlaku di dalam rumah tersebut.

“Bagaimanapun, tiga daripada 20 lelaki itu dicekup atas kesalahan memiliki bahan lucah hubungan sejenis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |