Tiga bilik sumbat 15 orang, 133 warga asing Bukit Angkasa ditahan

16 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Keresahan penduduk Pangsapuri Blok 21, Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, seolah-olah terlerai apabila Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur melancarkan operasi mengejut terhadap warga asing yang menetap di situ, awal pagi tadi.

Serbuan Ops Gegar dan Ops Kutip yang bermula kira-kira pukul 1 pagi itu disertai kira-kira 35 pegawai dan anggota hasil risikan selama dua minggu.

Pengerusi penduduk Blok 21, Muhammad Suhaily Tambi, berkata, keadaan di pangsapuri tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan ketidakselesaan apabila dianggarkan kira-kira 80 peratus penghuni merupakan warga asing, majoritinya dari Bangladesh.

Dia yang telah menetap selama 16 tahun berkata, isu yang sering dibangkitkan penduduk ialah tingkah laku warga asing yang semakin keterlaluan sehingga mengganggu ketenteraman, terutamanya pada waktu petang.

“Bermula pukul 6 petang, penuh balkoni dan koridor bersidai, memang macam pasar dorang dibuatnya. Jadi anak-anak gadis kita semua jadi takut nak balik kerja, penuh warga asing sahaja. Vandalisme jangan cakaplah, ludah sireh, ketuk-ketuk lif sampai rosak.

“Bukan itu sahaja, bila mabuk tidur bergelimpangan di tangga dan balkoni sampai berak, kencing. Ada kes yang tunjuk kemaluan bila dah mabuk. Boleh kata 300 rumah sini, 200 rumah semua warga asing,” katanya ketika ditemui dalam serbuan di Pangsapuri Blok 21, Taman Bukit Angkasa, di sini, malam tadi.

Muhammad Suhaily juga berkata kebanyakan pemilik kediaman di pangsapuri tersebut merupakan orang tempatan yang menyewakan sekitar RM1,800 hingga RM2,000 sebulan kepada warga asing.

“Dahulu sini semua orang tempatan yang duduk. Sejak beberapa kebelakangan ni lambakan warga asing menetap di sini sebab mereka bekerja kilang di belakang pangsapuri ni. Ada yang bekerja pengawal keselamatan.

“Bila serbuan macam ini dilakukan penduduk memang lega sebab sekurang-kurangnya ada tindakan dan pemantauan,” katanya.

Operasi tersebut melibatkan pemeriksaan terhadap setiap unit kediaman serta penghuni di blok berkenaan bagi tujuan pengesahan dokumen pengenalan diri dan status tinggal di negara ini.

Wartawan Kosmo! yang mengikuti operasi tersebut mendapati rumah yang mempunyai tiga bilik itu ‘disumbat’ sehingga 15 orang selain berada dalam sangat kotor dan menjijikkan.

Ketika serbuan dilakukan, terdapat beberapa warga asing cuba meloloskan diri sehingga sanggup terjun dari tingkap rumah selain bertindak enggan membuka pintu walau telah diketuk berkali-kali.

Beberapa warga asing juga bertindak berani apabila cuba melarikan diri setelah ditahan sehingga terpaksa bergelut selama lima minit bersama anggota penguatkuasa JIM.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata operasi tersebut dijalankan hasil risikan serta aduan orang awam.

“Seramai 200 individu diperiksa dalam operasi ini dan 133 PATI berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 102 lelaki dan 32 wanita daripada pelbagai negara, dengan warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi.

“Kita menahan 60 warga Indonesia, diikuti 31 warga Myanmar, 27 warga Bangladesh, 12 warga Pakistan, sembilan warga Nepal dan seorang warga India,” katanya.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur dan Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang imigresen,” katanya.

Katanya, kesemua tahanan disiasat mengikut Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |