KUALA LUMPUR – Perjanjian perdagangan yang dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia tidak menjejaskan kedaulatan negara ini, sebaliknya mengukuhkan hubungan kedua-dua negara.
Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, keputusan Malaysia menjalinkan hubungan lebih rapat dengan AS dibuat secara berdaulat sekali gus mencerminkan dasar kerajaan yang jelas.
“Saya tidak bersetuju dengan dakwaan itu (pemeteraian perjanjian perdagangan dengan AS menjejaskan kedaulatan Malaysia).
“Walaupun terdapat isu yang tidak sependapat antara kedua-dua negara, perjanjian berkenaan tetap melindungi kepentingan serta kedaulatan Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Kunjungan Presiden AS, Donald Trump ke Malaysia semalam sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 menyaksikan beberapa kerjasama dimeterai, termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa perjanjian ART bersifat berat sebelah dan boleh menjejaskan kedudukan Malaysia, termasuk klausa Artikel 5.1 yang dikatakan mewajibkan negara ini mengikut sekatan perdagangan AS terhadap negara lain.
Dalam pada itu, Kagan menolak dakwaan berkenaan dan menegaskan perjanjian tersebut dilakukan dengan semangat sahabat serta saling menghormati.
Mengulas Artikel 5.3 yang memerlukan rundingan semula jika Malaysia mahu memeterai perjanjian dengan negara lain, Kagan berkata, ia bukan penyerahan kuasa, tetapi satu bentuk pengiktirafan memasuki fasa baharu dalam hubungan dua hala.
“Saya fikir begitulah hubungan antara rakan kongsi rapat berfungsi. Jika AS melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan Malaysia, kita juga harap Kerajaan Malaysia akan membangkitkannya dengan kami, begitu juga sebaliknya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2


![[VIDEO] Didakwa disamun, remaja OKU sujud tanda terima kasih](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-27-at-7.42.32-PM.jpeg)




![[VIDEO] ASEAN ke-47: ‘Happy Birthday Presiden Brazil’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-27-at-5.13.23-PM.jpeg)








































