TANGKAK – Jambatan Sungai Rambai ditutup kepada semua kenderaan susulan berlaku keretakan pada tiang dipercayai berpunca rempuhan sisa pokok dibawa arus deras.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Salleh berkata, penutup jambatan sepanjang 48 meter itu berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, penutupan itu dibuat selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati ia tidak selamat digunakan.
“JKR mendapati struktur tiang jambatan itu rosak dan tidak selamat berkemungkinan oleh arus air sungai yang deras.
“Selain itu, tiang jambatan itu juga dirempuh sisa pokok hanyut selain kemungkinan struktur tanah dasar sungai yang terhakis,” katanya dalam kenyataan.
Jambatan Sungai Rambai, Tangkak retak akibat rempuhan sisa pokok yang dibawa arus deras dan laluan ini ditutup kepada semua jenis kenderaan.Jambatan Sungai Rambai dibina bagi menghubungkan Kesang, Tangkak dan Sungai Rambai, menjadi laluan utama orang ramai berulang alik dari Melaka dan dan Muar.
Mohamad Fazli berkata, susulan penutupan jambatan itu, semua kenderaan diminta menggunakan Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) sebagai laluan alternatif dan tindakan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, penduduk, Imran Salleh, 45, berkata, penutupan jambatan terbabit dimaklumkan pada jam 10.30 pagi tadi selepas didapati berlaku keretakan.
“Jambatan itu menjadi laluan penting bagi penduduk di Tangkak, Muar dan Sungai Rambai, Melaka yang berulang-alik setiap hari.
“Kejadian retakan disedari selepas video tular di media sosial. Ia disebabkan hujan sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan arus membawa pokok dan sebagainya merempuh tiang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4


















![[VIDEO] ‘Jalan jem pun tak berhenti kelip’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/KAMERA-AWAS.jpeg)






























