Tiada siapa mahu berlumba di belakang – Helmi Azman  

3 hours ago 4

SEPANG – Biarpun dihujani kritikan ‘pedas’ daripada peminat, pelumba wildcard Moto2 negara, Helmi Azman memilih untuk menjadikannya sebagai pembakar semangat menjelang perlumbaan sebenar Grand Prix (GP) Malaysia yang bakal berlangsung esok.

Helmi, yang beraksi bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda, bergelut pada sesi kelayakan hari ini apabila dia dan rakan sepasukan, Azroy Hakeem Anuar, terpaksa akur memulakan perlumbaan di barisan terakhir Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagaimanapun, Helmi meminta para peminat sukan permotoran tanah air agar memahami situasi sebenar yang dihadapi mereka terutama kekangan masa serta persiapan yang terhad.

“Saya tahu komen daripada netizen sejak dua tiga hari ini memang agak teruk. Kami sudah cuba yang terbaik, tetapi mungkin ada yang nampak seolah-olah salah kami atau pasukan. Hakikatnya, persiapan kami agak padat, tidak seperti Hakim Danish yang sempat menjalani ujian dengan jentera lebih awal.

“Apa yang boleh saya katakan, semua dalam pasukan telah berusaha sebaik mungkin. Tiada siapa mahu berlumba di belakang. Jadi, saya harap orang ramai tidak terlalu negatif teruskan beri sokongan kerana kami amat memerlukannya.

“Kami juga ada komitmen berlumba di kejohanan lain iaitu ARRC (Kejuaraan Motosikal Asia), Cub Prix dan Kejuaraan Superbike Malaysia,” katanya yang akan memulakan perlumbaan dari petak ke-30 esok.

Meskipun bermula petak terakhir, Helmi tetap positif dan berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkannya berbanding tahun lalu.

“Secara keseluruhan saya gembira kerana banyak peningkatan berbanding tahun lepas. Sasaran realistik saya esok adalah untuk kekal dalam kelompok perlumbaan dan tidak ketinggalan jauh. Saya mahu beri saingan,” tegasnya.

Dalam masa sama, pelumba berusia 26 tahun itu turut  berbangga terhadap pencapaian cemerlang pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, yang akan memulakan perlumbaan dari petak ke-14 selepas disahkan akan bersaing sepenuh masa dalam Kejuaraan Dunia Moto3 musim depan.

“Saya sangat bangga, saya berada di garaj sebelahnya dan lihat sendiri prestasinya sejak sesi latihan pertama lagi. Apabila kami dapat tahu dia akan ke Kejuaraan Dunia tahun depan, ia satu perkara membanggakan.

“Kejayaannya beri semangat tambahan kepada saya untuk berlumba esok. Dia sudah buktikan kemampuan dan kini giliran kami untuk menyusul,” ujar Helmi. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |