Tiada rancangan segera jual Battersea – KWSP, PNB

2 hours ago 4

PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak memiliki perancangan segera untuk keluar daripada pelaburan hartanahnya di Battersea Power Station, London.

Menurut kedua-dua organisasi tersebut dalam kenyataan hari ini, Projek Battersea, yang dimiliki oleh konsortium yang diketuai oleh Sime Darby Property Berhad dan SP Setia Berhad, kekal sebagai pelaburan strategik bagi semua pemegang sahamnya.

Jelasnya, bangunan Battersea Power Station, yang terletak dalam presint komersial Projek Battersea, dimiliki bersama oleh PNB dan KWSP setelah diambil alih sebagai sebahagian daripada portfolio pelaburannya dalam hartanah global.

“Kedua-dua organisasi kekal komited untuk merealisasikan potensi pelaburan secara menyeluruh, serta yakin dengan prospek dan potensi peningkatan nilainya.

“Oleh itu, tiada rancangan segera untuk keluar daripada pelaburan tersebut,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, dari semasa ke semasa, pihaknya menerima cadangan daripada pihak yang berminat untuk melabur dalam projek berkenaan, memandangkan aset Battersea adalah ikonik.

“Sebagai pelabur, PNB dan KWSP akan menilai setiap cadangan dengan teliti, selaras dengan kriteria dan pertimbangan pelaburan kami, yang sentiasa berasaskan penciptaan nilai untuk manfaat pemegang unit PNB dan ahli KWSP.

“Oleh itu, biasanya apabila pelaburan mencapai tahap kematangan dan pulangan yang disasarkan, kami akan mempertimbangkan peluang untuk pengewangan atau pengenalan rakan strategik bagi menyokong keperluan modal serta pertumbuhan untuk masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, wujud laporan bahawa bangunan utama Battersea Power Station, yang antara lain menempatkan ibu pejabat Apple Inc di United Kingdom bakal dijual.

Battersea Power Station dan kawasan sekitarnya dibeli oleh konsortium merangkumi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), S P Setia Bhd. dan Sime Darby Bhd. pada harga sekitar £400 juta (RM2.248 bilion) pada 2012. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |