KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melaksanakan kajian geoteknikal berkaitan struktur lapisan tanah di kawasan pusat bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kajian itu membabitkan jalan utama di sekitar segi tiga emas di ibu negara.
Menurut beliau, ia bertujuan mengenal pasti profil serta kestabilan tanah di kawasan pusat bandar yang juga penting menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. “Pemantauan setakat ini mendapati tiada kawasan berisiko terhadap lubang benam. Dapatan ini penting kepada delegasi ASEAN.
“Khususnya terhadap aspek ancaman bencana infrastruktur seperti lubang benam,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Dr. Zaliha berkata, kajian itu dijalankan susulan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India pada 23 Ogos tahun lalu bagi memastikan keselamatan struktur dan utiliti bawah tanah.
Jelas beliau, ini terutama di sekitar ‘central business district’ dan radius penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
Menjawab soalan asal Yusuf, Dr. Zaliha berkata, laporan penuh mengenai insiden lubang benam di Jalan Masjid India telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Menurut beliau, satu edisi khas laporan bagi tujuan bacaan umum akan dikeluarkan DBKL pada akhir tahun ini yang diharap memberi kelegaan kepada orang awam.
“Ia ekoran kebimbangan mereka bahawa Kuala Lumpur dibina di atas lapisan batu kapur yang rapuh,” katanya.
Tambah beliau, JWP juga berhasrat membentangkan laporan itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.
Jelas beliau, laporan ini jika dapat dikaji bersama dengan laporan insiden lubang benam di kawasan bandar lain seperti Sepang dan Georgetown akan memberi gambaran lebih menyeluruh.
Katanya, ia dapat membantu merangka strategi mitigasi yang lebih komprehensif pada peringkat nasional. – KOSMO! ONLINE