Tiada ‘bulan madu’ buat Kabinet baharu

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Anggota Kabinet yang baharu dilantik atau bertukar portfolio diingatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan tanpa memahami sepenuhnya pengurusan dan dasar kementerian masing-masing.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun tiada tempoh masa khusus ditetapkan oleh Perdana Menteri, namun anggota Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa tiada konsep ‘bulan madu’ diberikan kepada menteri baharu.

Beliau berkata, perkara itu ditegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung semalam.

“Perdana Menteri mengalu-alukan kehadiran semua menteri baharu dan mengingatkan supaya tidak membuat sebarang keputusan dalam tempoh terlalu singkat.

“Sebaliknya, beri ruang kepada pegawai serta penjawat awam menyampaikan pandangan dan input sebelum keputusan dasar dibuat. Walaupun tiada tempoh khusus ditetapkan, namun mesejnya jelas, tiada ‘honeymoon’ kepada rakan-rakan menteri baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Auditorium Seri Angkasa, Kompleks Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

Fahmi berkata, terdapat dalam kalangan menteri baharu yang masih dalam proses memahami sepenuhnya sistem dan tatacara Mesyuarat Jemaah Menteri, justeru penelitian rapi sedang dilakukan sebelum sebarang keputusan penting dibuat.

Katanya, Perdana Menteri dijangka memantau secara dekat perkembangan serta prestasi anggota Kabinet menerusi mesyuarat berkenaan bagi memastikan sebarang isu pentadbiran dapat ditangani dengan segera.

Kelmarin, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, termasuk pertukaran portfolio serta lantikan baharu, sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran dan memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Rombakan itu turut menyaksikan enam timbalan menteri bertukar peranan selain seorang muka baharu dilantik sebagai menteri penuh. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |