‘Terima kasih Menteri Fadhlina, saya sujud syukur’

9 hours ago 5

PETALING JAYA – Rasa lega dan syukur dirasai ramai warga pendidik susulan pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM) bermula tahun hadapan.

Langkah ini dilihat sebagai usaha kementerian untuk mengurangkan beban guru dan pegawai berkaitan.

Di ruangan komen hantaran Facebook dimuat Fadhlina pagi tadi, seorang Setiausaha Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang dikenali sebagai Sir Mark Zack meluahkan perasaan lega beliau selepas pengumuman itu dibuat.

“Saya selaku SU LDP dari tahun 2019 sujud syukur jika dimansuhkan kerana tekanan darah saya semakin tinggi. Sistem ini sangat menyusahkan. Sakit mata, sakit kepala nak buat pengesahan kursus guru,” katanya.

Beliau menceritakan pengalaman penuh tekanan menggunakan SPLKPM, di mana setiap kursus memerlukan 12 kali klik untuk pengesahan seorang guru.

“Bagi 77 guru, jumlah klik boleh mencecah ratusan hingga ribuan kali. Malah, sistem sering kali mengalami kesilapan, memaksa pegawai menunggu berjam-jam di hadapan komputer untuk proses pengesahan selesai.

“Kadangkala empat jam baru siap pengesahan untuk empat orang guru. Stres! Sistem sentiasa ‘down/error’. Memang stres, sakit kepala sampai tekanan darah menjadi tinggi. Banyak sangat nak luah sampai tak terluah. Terima kasih YBM (Yang Berhormat Menteri). Terima kasih yang tak terhingga YBM Fadhlina Sidek. Alhamdulillah,” luahnya.

Pegawai Pendidikan, Hudzaifah turut mengucapkan terima kasih dan berharap sistem baharu tidak menggantikan SPLKPM dengan cara yang lebih membebankan.

“Alhamdulillah…terima kasih YBM, tapi besar harapan saya supaya tak digantikan dengan sistem lain pula. Terima kasih,” katanya.

Bagu Ziela Hashim pula, dia bersetuju dengan pemansuhan sistem itu memandangkan SPLKPM menimbulkan tekanan tinggi bagi mengejar KPI (Key Performance Indicator) mata kredit serta menyelesaikan pengesahan guru yang belum mencukupi mata merit dalam tempoh tertentu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |